Seorang lagi pemimpin MCA Johor diugut ah long Singapura

Seorang lagi pemimpin MCA Johor diugut ah long Singapura

LIM THOW SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lagi pemimpin MCA Johor turut menerima ugutan oleh dalang sebenar di sebalik ugutan terhadap Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon, baru-baru ini.

Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata, dalang sebenar di sebalik ugutan berkenaan adalah seorang lelaki warganegara Singapura yang dikenali dengan nama panggilan ‘Sky’.

Katanya, dia telah berurusan dengan lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu sejak lebih setahun lalu namun hanya menerima ugutan itu, baru-baru ini.

“Lelaki itu membuat ugutan meminta kami tidak lagi menguruskan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran mereka di sana.

“Dia membuat ugutan melalui panggilan suara dan memberitahu akan membakar rumah kediaman saya sambil memaklumkan alamat kediaman peribadi saya di sini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat biro berkenaan, di sini hari ini.

Thow Siang turut memberitahu, sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu, pihaknya telah menerima lebih daripada 50 aduan mangsa ah long dengan 80 peratus daripadanya terlibat sindiket pinjaman wang dari Singapura.

“Berdasarkan siasatan kami, sindiket ah long Singapura itu menyasarkan rakyat Malaysia yang berada di republik itu khususnya atas tujuan kerja.

“Modus operandi mereka adalah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa namun apabila mangsa ingin memulangkan wang berkenaan, sindiket terbabit meminta dua kali ganda daripada jumlah asal.

“Apabila mangsa enggan membayar jumlah wang yang diminta, mereka akan mengugut ahli keluarga yang berada di negara ini melalui panggilan telefon dan juga balingan cat pada tengah malam,” ujarnya.

Tambah Thow Siang, pihaknya akan terus membantu mangsa-mangsa yang menjadi sasaran sindiket ah long walaupun berdepan ugutan pihak-pihak tertentu.

“Saya tahu masih ramai lagi individu yang menjadi mangsa ugutan sindiket tetapi takut untuk mendedahkan diri. Di sini saya mengajak agar lebih ramai lagi tampil membuat laporan polis agar jenayah ini dapat dihentikan.

“Saya sendiri sudah membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima dan akan terus bersuara untuk membela mereka yang menjadi mangsa sindiket ini,” jelasnya.

Terdahulu, orang upahan ‘Sky’ yang membuat ugutan terhadap Jian Boon, iaitu Teng Chee Sing, 34, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai kerana kesalahan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya