Semak semula cadangan kenakan duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin  - Utusan Malaysia

Semak semula cadangan kenakan duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin 

vape
CECAIR atau gel nikotin berpotensi mendatangkan hasil kepada kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan diharapkan menyemak semula cadangan mengenakan duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape bagi mengelakkan impak yang buruk terhadap generasi muda.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, cukai eksais terhadap bahan itu dalam jangka masa pendek mungkin dapat menjana keuntungan kepada negara, tetapi kesihatan rakyat yang terjejas akibat ketagihan rokok dibimbangi merugikan negara.

“Pengumuman duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape boleh dianggap kerajaan membenarkan bahan tersebut diedarkan di pasar terbuka bagi kegunaan orang ramai.

“Ini mencerminkan sikap kerajaan yang tidak serius untuk membasmi amalan merokok seperti yang dicanangkan melalui iklan-iklan yang disiarkan di dalam pelbagai media cetak dan elektronik selama ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika mengumumkan Bajet 2022 di Parlimen, Jumaat lalu berkata, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Menurut Wan Salim, sebagai seorang mufti, beliau ingin mengingatkan kembali kepada keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada 21 Desember 2015 yang menegaskan tentang hukum penggunaan vape sebagai haram.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan isu berkenaan dari pelbagai sudut terutama aspek kesihatan.

“Para mufti seluruh negara bersetuju dengan status haram rokok elektronik setelah disahkan oleh para pakar perubatan dan kesihatan termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana rokok ini membahayakan kesihatan penggunanya.

“Ini adalah kerana ia mengandung pelbagai jenis racun yang boleh memudaratkan kesihatan.

“Di samping itu, merokok secara umumnya merupakan pembaziran, lebih-lebih lagi dalam keadaan ramai rakyat yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada masa kini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN