Selesai isu PATI Sabah ikut empat kategori - Utusan Malaysia

Selesai isu PATI Sabah ikut empat kategori

WILDRED Madius Tangau (empat kanan) bersama barisan kepimpinan UPKO lain semasa perasmian EGM UPKO di Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Usul kewarganegaraaan berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) sekali lagi menjadi agenda dalam persidangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Kali ini UPKO mencadangkan usul agar kerajaan menyelesaikan isu PATI di Sabah dengan melihat empat kategori PATI yang perlu diselesaikan mengikut kaedan berasingan.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sekiranya kerajaan benar-benar serius menangani isu PATI di Sabah, mereka perlu mengambil kira empat kategori PATI yang ada iaitu PATI, pelarian perang, individu tanpa kewarganegaraan dan individu yang memperoleh kad pengenalan atau MyKad secara haram.

“Pendekatan yang berbeza diperlukan dalam menangani empat kategori PATI yang berada di Sabah ini. Bagi individu yang memiliki kad pengenalan secara haram, kerajaan harus menarik balik MyKad yang diperoleh,” katanya selepas perasmian Persidangan Luar Biasa UPKO di Pusat Kebudayaan Penampang semalam.

Katanya, isu PATI ini perlu ditangani secara berkesan kerana masalah ini sudah berlanjutan terlalu lama tanpa ada penyelesaian menyeluruh.

Maka, melalui persidangan ini, UPKO akan mengemukakan usul berkaitan empat kategori PATI ini kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu PATI.

Tambah beliau, semasa cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) dikemukakan, ia hanya merujuk kepada pelarian perang yang mempunyai pas sementara IMM13, kad burung-burung dan sijil banci.

Justeru, sudah sampai masa untuk kerajaan menangani isu PATI ini dengan mengambil kira empat kategori tersebut.

Madius turut mempersoalkan tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang masih gagal menyelesaikan masalah PATI dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan semasa pilihan raya lalu.

Dalam Persidangan Luar Biasa ini, UPKO turut membuat pindaan pada logo baharu dengan memasukkan perkataan UPKO pada logo sedia ada.

Di samping itu, UPKO turut melancarkan pendigitalan UPKO untuk menambah baik sistem pentadbiran keahlian parti. Ia penting untuk UPKO terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju perjuangan rakyat yang inklusif dan berbilang kaum.

Hadir sama ialah Presiden Kehormat UPKO, Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Mojuntin dan Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.