Selangor optimis kembang industri penerbangan - Utusan Malaysia

Selangor optimis kembang industri penerbangan

TENG Chang Khim menyempurnakan simbolik perasmian Selangor Aviation Show sambil disaksikan Hasan Azhari Idris (kanan) dan Haris Kasim (kiri) selepas ucapan oleh Amirudin Shari yang ditayangkan menerusi video ketika merasmikan program berkenaan di Regional Aviation Centre, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor optimis mengembangkan industri penerbangan di negeri ini dalam usaha mengekalkan pertumbuhan industri perniagaan dan penerbangan am.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi tujuan itu, Selangor sentiasa berhubung dengan pihak berkepentingan lain kerajaan dan entiti swasta dalam subjek pembangunan infrastruktur lapangan terbang.

“Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030 menangani cabaran ini dengan agak agresif dan ketara.

“Selangor mempunyai Lapangan Terbang Subang dan kami berazam membantu membuka potensi di lapangan terbang ini untuk menyokong dan mengekalkan pertumbuhan dalam industri perniagaan dan penerbangan am serta aktiviti penerbangan lain,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau, Subang SkyPark menerusi tayangan video di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Selangor, Datuk Teng Chang Khim serta Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Invest Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris.

SAS 2021 yang julung kali diadakan itu mendapat penyertaan lebih 40 syarikat berkaitan perkhidmatan penerbangan, penyelenggaraan dan logistik termasuk dari Brazil, Perancis, Switzerland, Turki dan Amerika Syarikat.

Antara syarikat antarabangsa yang turut serta ialah syarikat pengeluaran peralatan tulen (OEM) Airbus, Dassault Aviation, Embraer SA dan Turkish Aerospace Industries.

Syarikat tempatan pula antaranya disertai Systematic Aviation Services, Galaxy Aerospaces, Aerodyne dan Pen Aviation.

Amirudin memberitahu, selain jet perniagaan dan helikopter, kerajaan negeri juga amat teruja dengan prospek pertumbuhan industri dron, khususnya dalam subsektor dron komersial.

Menurutnya, penerimaan dron komersial dalam perkhidmatan untuk pelbagai sektor ekonomi dan sosial dilihat meningkat pesat dengan permintaan yang tinggi.

“Menurut Grand View Research dalam laporan yang diterbitkan pada April lalu, pasaran dron komersial global ialah AS$13.44 bilion pada tahun lepas, dengan pertumbuhan aliran menaik yang sangat kukuh pada tahun-tahun akan datang.

“Lebih penting lagi, rantau Asia Pasifik sendiri dijangka menyaksikan CAGR (Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun) yang mengagumkan sebanyak 63.1 peratus antara 2021 hingga 2028, menjadikan pasaran dron komersial berpotensi berkembang dengan lebih pesat di dunia.

“Oleh itu, kita ingin berada dalam kedudukan untuk memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat ini dengan mempunyai infrastruktur dan ekosistem yang paling optimum,” menurutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.