PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan beliau dan isteri telah dijadikan bahan Maharaja Lawak Mega apabila terdapat pihak membangkitka isu tanah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, tanah itu ditawarkan oleh kerajaan kepada beliau sebagai bekas perdana menteri seperti yang terkandung dalam akta yang telah dipinda oleh Perdana Menteri Keempat.
“Kerajaan beri tiga bidang tanah kerajaan untuk pilih maka saya pilih satu iaitu tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka,” katanya dalam hantara di Facebook.
Lagi pula katanya, tanah itu belum pun diluluskan dan nilai RM100 juta itu diberikan oleh portal yang pro-Perikatan Nasional (PN).
“Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan atau suruh kerajaan belanja untuk beli tanah tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas Perdana Menteri.
“Nilai RM100 juta itu diberi portal pro-PN dan cerita dikeluarkan sempena PRN Melaka walaupun permohonan saya dibuat pada tahun 2018 selepas PRU14. Bukan kita tak tahu kenapa.
“Malah pejabat bekas perdana Menteri saya cuma satu banglo disewa di Bukit Pantai. Bukan kompleks besar macam Yayasan Kepimpinan Perdana Mahathir. Anak-anak saya pun bukan bilionaire macam anak-anak dia. Lalu, dia tanya apa jasa saya sebagai PM? Tak ada apa-apa pun jasa saya,” kata Najib.
Katanya Najib, itu adalah skrip lama untuk hasut rakyat bencinya yang digunakan sekali lagi untuk PRN Melaka.
“Saya sekali lagi dijadikan sasaran utama propaganda-propaganda pihak-pihak lawan. Cerita permohonan saya untuk diberi kediaman di bawah akta kerajaan yang saya buat pada tahun 2018 selepas PRU14 tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka.
“Tiba-tiba diberi nilai RM100 juta. Sedangkan ia tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk saya pilih di bawah akta kerajaan. Bukan suruh kerajaan belanja untuk beli bagi saya. Saya dan isteri saya dijadikan bahan untuk Maharaja Lawak Mega.
“Gambar edit isteri saya pula dijadikan bahan squid game DAP. Dan banyak-banyak lagi. Sedangkan saya bukan pun calon di Melaka atau saya ada apa-apa jawatan tertinggi di UMNO. Kenapa pulak?
“Apa kena mengena benci saya dengan PRN Melaka? Apa yang pihak-pihak lawan fikir warga Melaka akan dapat sekiranya mereka benci saya? Apa yang Rakyat Malaysia telah dapat dengan membenci saya selepas PRU14?
Ekonomi lebih bagus? Aset-aset negara bertambah? Dividen tabung-tabung simpanan menaik? Kesejahteraan hidup Rakyat bertambah baik? Negara lebih stabil dan terancang? Pasaran saham lebih baik? Pelaburan asing menaik? Janji-janji manifesto ditepati?” Katanya.