MELAKA: Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Itu perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan situasi calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Dewan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang pernah terpalit kontroversi berkaitan pendakwah terkemuka, Dr. Zakir Naik.
Kerana tiga patah perkataan, beliau dianggap sesetengah pihak sebagai cauvinis sehingga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat Melayu terhadapnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, Chee Yee menjelaskan, tindakannya itu hanya sekadar menegur perbuatan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri ketika itu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang dilihat bertentangan dengan dasar PH yang dipersetujui bersama.
Jelasnya, Mohd. Rafiq sengaja mahu menjadi hero dengan menjemput Zakir hadir ke sebuah program di Melaka, walaupun sedar keputusan kerajaan negeri yang melarang individu berkenaan menyampaikan ceramah.
“Komen saya sekadar mahu rakan komponen menghormati keputusan Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari. Tetapi tindakan Mohd. Rafiq itu menunjukkan dia mahu menjadi hero agama.
“Beliau sendiri mengakui perkara ini di hadapan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew. Justeru, saya hanya menegur perbuatan beliau dan bukannya bersikap cauvinis seperti yang disangka ramai pihak,” luahnya kepada Utusan Malaysia.
Pada September 2019, Mohd. Rafiq menjemput Zakir hadir pada program Malam Islam Bersatu, namun tidak menyampaikan ceramah.
Mengulas lanjut, Chee Yee berkata, tindakan kerajaan negeri melarang Zakir berceramah di Melaka merupakan satu keputusan yang sukar untuk dibuat dan semua pihak harus menghormatinya.
Menurutnya, akibat kedegilan pihak tertentu, reputasi kerajaan PH terjejas dan kemudian digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita-berita negatif.-UTUSAN ONLINE










