Sasar 70 peratus pelatih TVET jadi pekerja mahir menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Sasar 70 peratus pelatih TVET jadi pekerja mahir menjelang 2025

MAH Hang Soon (berdiri, tiga kanan) dan Lee Kim Meow (berdiri, tiga dari kiri) menyaksikan acara menandatangan MoU antara KPM dengan Top Glove di Menara Top Glove, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan 70 peratus daripada keseluruhan pelatih Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi pekerja mahir dalam tempoh enam tahun bermula tahun lalu hingga 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, beliau optimis sasaran tersebut dapat dicapai setelah melihat semakin ramai belia Malaysia yang mahu menceburi bidang ini.

“Kita juga menyasarkan 20 peratus pelatih daripada 87 kolej vokasional seluruh negara dapat melanjutkan pendidikan ke mana-mana universiti tempatan manakala 10 peratus lagi menjadi usahawan.

“Sukacita ingin memaklumkan bahawa sehingga 31 Oktober lalu, 98.29 peratus pelatih TVET yang berjaya menamatkan pengajian mereka di kolej sama ada menjadi pekerja mahir, melanjutkan pengajian dan menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis memorandum persefahaman (MoU) di antara Kementerian Pendidikan dengan Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) di Menara Top Glove, di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Hang Soon bersama Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow menyaksikan MoU ditandatangani oleh Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Zanariah Ahmad dan Pengurus Besar Bahagian Sumber Manusia Top Glove, Loke Kean Mun.

Dalam pada itu, Hang Soon berharap pendidikan TVET di negara ini boleh setara dengan negara Jerman, memandangkan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) semakin pesat di beberapa buah negara lain. 

Sementara itu, Kean Mun berkata, kira-kira 900 pelatih TVET akan mendapat latihan di syarikat tersebut dalam tempoh lima tahun.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk memberikan latihan awal kepada pelatih TVET di sini. Ini adalah salah satu sumbangan kami kepada negara dengan pelbagai bantuan dan kemudahan yang telah diberikan kerajaan Malaysia kepada syarikat ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya