Sarawak mahu SOP realistik semasa kempen PRN Sarawak - Utusan Malaysia

Sarawak mahu SOP realistik semasa kempen PRN Sarawak

DOUGLAS Uggah (kanan) menyerahkan cek berjumlah RM1 juta kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah mengharapkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang realistik untuk digunakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di kawasan pedalaman.

“Kita tunggu SOP yang akan dikeluar oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan nanti.

“Harapan kita akan ada SOP yang realistik untuk diguna pakai semasa berkempen di ulu sungai (rumah panjang dan kampung) dan di kawasan pedalaman untuk membolehkan kita berkempen di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan geran berjumlah RM3.896 juta daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak baru-baru ini menegaskan bahawa segala keperluan termasuk penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka harus dilaksanakan bagi mengelak sebarang jangkitan Covid-19.

Katanya, senario yang berbeza akan berlaku semasa PRN Sarawak akan datang, iaitu sama seperti yang dilakukan dalam PRN Melaka.

PRN Sarawak dijangka diadakan pada Disember tahun ini apabila hari ini dalam kenyataan medianya SPR menyatakan akan mengadakan mesyuarat khas urusan PRN Sarawak ke-12 pada 24 November ini, mulai pukul 9 pagi di Kuching.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dan akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak, seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pengundian yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN Sarawak.

Satu sidang akhbar akan diadakan sejurus selepas mesyuarat berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya