PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak orang ramai untuk bersama-sama ‘hogoh’ semangat Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri berkata, ‘hogoh’ bermaksud ‘menggegar sesuatu yang kuat’ atau ‘gegar’ dalam dialek Pahang dan sinonim dengan slogan bagi menaikkan semangat serta meraikan kejayaan.
“Hari ini, kita sama-sama berkumpul untuk ‘hogoh’ semangat Keluarga Malaysia di Felda Kumai, Bera Pahang.
“Program Hogoh Bera berlangsung selama dua hari sejak semalam, merupakan program sentuhan komuniti yang bertemakan Keluarga Malaysia bagi mengangkat produk seni dan budaya khususnya di daerah Bera, Pahang yang kaya dengan elemen warisan.
“Pelbagai acara sukan rakyat yang kini kian dilupakan dan tidak lagi dimainkan oleh generasi muda seperti galah panjang, ceper, timbang bola diketengahkan kembali menerusi program ini, bagi memastikan ia tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri hadir pada program komuniti Keluarga Malaysia Hogoh Bera 2021 di Dewan Utama Felda Kumai, Bera, Pahang. – UTUSAN ONLINE