KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membelanjakan lebih RM500 juta setahun bagi melakukan aktiviti pemotongan bekalan air yang disambung secara haram di seluruh negeri ini.
Pengarah JANS, Ir. Edward Lingkapo berkata, pemotongan penyambungan air secara haram memerlukan kos yang tinggi namun, kes kecurian air masih berlaku di kawasan ‘gelap’ sehingga hari ini.
Beliau berkata, JANS kehilangan antara enam hingga lapan juta liter sehari (mld) akibat kecurian air di daerah ini, terutama di kawasan Sepanggar.
Setakat ini, enam kawasan dikenal pasti melakukan aktiviti mencuri air di sekitar pusat bandar raya ini dan kebanyakan kawasan ini merupakan kawasan setinggan yang dihuni pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Walaupun pemotongan air yang disambung secara haram ini dilakukan namun, penduduk di kawasan tersebut akan menyambungnya semula pada hari yang sama. Kita tidak boleh memantau kawasan itu selama 24 jam kerana keselamatan kakitangan kita perlu diutamakan.
“Pemasangan paip secara haram ini ada yang disambungkan dengan wayar elektrik, apabila kakitangan kita cuba memotongnya, mereka terkena renjatan elektrik. Ini antara faktor yang diambil kira dalam menangani masalah kecurian bekalan air,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.
Edward berkata, masalah kecurian air ini berlaku di Sabah dan jika dilihat di Sandakan, kehilangan air akibat kecurian mencecah tiga kali ganda daripada kehilangan air di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, JANS berhadapan kesukaran menangani masalah kecurian air kerana kawasan yang terlibat kebanyakannya dihuni oleh individu yang tidak berdokumen dan ia diluar bidang kuasa JANS untuk mengambil tindakan terhadap PATI ini.
Mengulas lanjut katanya, tanpa kecurian air, lapan juta liter air itu boleh disalurkan ke kawasan yang kini berhadapan dengan masalah bekalan air seperti di University Utama Condominium (UUC), Telipok dan University Condo Apartment (UCA), Menggatal.
“Sekiranya masalah kecurian air di kawasan pusat bandar raya ini ditangani, tekanan air akan menjadi lebih baik di kedua-dua kawasan perumahan tersebut,” katanya.
Pada masa ini, kapasiti air yang dibekalkan ke pusat bandar raya ini berkurang 30 peratus iaitu kepada 164 juta liter sehari susulan pembangunan pesat dan masalah kecurian air yang berlaku.
Justeru, pembinaan loji rawatan air (LRA) Telibong I dan LRA Telibong II di Tamparuli yang dijadualkan siap pada Jun 2022 akan mengatasi keperluan bekalan air di daerah ini.
“Apabila kedua-dua loji ini siap pada pertengahan tahun depan, ia akan memberi tambahan 80 juta liter air sehari untuk kegunaan penduduk di bandar raya ini,” katanya.
Disamping itu katanya, JANS juga akan mengaktifkan semula pengesanan air tidak berhasil (NRW) untuk mengenal pasti kawasan yang melakukan aktiviti mencuri air dan masalah-masalah lain seperti paip pecah.-UTUSAN ONLINE