RM300,000 hingga RM1.2 juta lahirkan doktor - Utusan Malaysia

RM300,000 hingga RM1.2 juta lahirkan doktor

Doktor kontrak dakwa isu perjawatan mereka belum dapat diselesaikan oleh kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kos melahirkan doktor bertauliah yang mencecah RM300,000 seorang memerlukan kerajaan menyerap semua doktor kontrak ke jawatan tetap supaya berbaloi dengan pelaburan dibuat.

Kos diperlukan itu membabitkan jangka masa pengajian lima ke enam tahun.

Dianggarkan, purata kos seorang pelajar setahun adalah kira-kira RM60,000 melibatkan pengajian dalam negara.

Jika di luar negara, kos pengajian untuk jangka masa sama dianggarkan RM600,000 di India dan melebihi RM1.2 juta jika menuntut di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, langkah terbaik adalah dengan menyerap kesemua doktor kontrak ke jawatan tetap.

Beliau menjelaskan, tanggungjawab tersebut perlu dipikul dan dilaksanakan kerajaan kerana kos untuk mengeluarkan seorang doktor bertauliah bukan murah.

Tambahan katanya, kesemua pegawai perubatan kontrak berkenaan sudah bersedia untuk berkhidmat.

“Dalam masa yang sama, kerajaan perlu membuat pengurangan pengambilan pelajar perubatan di semua fakulti perubatan seluruh negara berpandukan kepada penawaran dan permintaan.

“Kerajaan juga perlu menilai semula kualiti atau standard Fakulti Perubatan di Malaysia. Sewajarnya setiap universiti yang mempunyai fakulti perubatan perlu ada hospital sendiri sekurang-kurangnya dilengkapi sebanyak 300 katil.

“Bukan seperti sekarang, semuanya tertumpu dan bergantung kepada hospital kerajaan. Mereka perlu berdikari barulah ada kajian dan mendapatkan peralatan secukupnya untuk pengajian lepasan ijazah,” katanya di sini semalam.

Setakat ini, terdapat seramai 23,096 orang pegawai lantikan kontrak yang merangkumi 23,077 pegawai perubatan lantikan kontrak dan 19 orang pakar perubatan lantikan kontrak.

Jumlah keseluruhan pegawai perubatan adalah 55,981 orang iaitu 32,885 pegawai lantikan tetap merangkumi 26,892 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan 5,993 pakar perubatan lantikan tetap.

Kelmarin, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai dilaporkan berkata, kerajaan perlu memikirkan sebaik-baiknya keperluan doktor di negara ini berikutan pengagihan mereka ke setiap negeri yang dikatakan tidak seragam.

Meskipun seorang doktor di negara ini boleh dianggap mencukupi apabila nisbahnya bersamaan 454 orang untuk seorang doktor seperti yang dilaporkan Ogos tahun lalu, agihan penempatan itu menimbulkan permasalahan.

Nisbah tersebut boleh dianggap sudah baik untuk negara ini kerana menyamai nisbah yang diperuntukkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu seorang doktor untuk 500 orang.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mempersoalkan
langkah kerajaan yang baru mahu membuat unjuran jumlah doktor kontrak yang perlu diserap ke perkhidmatan tetap sedangkan isu berkenaan sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, sepatutnya apabila hendak membuka fakulti perubatan, farmasi atau klinik pergigian, sekurang-kurangnya asas untuk praktikal dan privasi mesti ada hospital sendiri atau kerjasama dengan hospital swasta.

“Menerusi cara ini, baru tidak membebankan kerajaan dan memberikan faedah kepada pesakit. Daripada segi kos juga ia lebih ekonomik,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan juga perlu memancing dari sekarang dan memberikan galakan kepada doktor-doktor muda untuk terus membuat kepakaran dan pengkhususan dalam semua bidang perubatan.

“Ia untuk melayakkan Malaysia sebagai negara maju dan menjadi rujukan untuk menggalakkan pelancongan kesihatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya