PUTRAJAYA: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya selepas dilahirkan di sebuah hospital kerajaan, layak memperoleh taraf warganegara Malaysia setelah rayuannya dan keluarga angkat dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.
Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk P. Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Mahkamah mengisytiharkan remaja itu rakyat negara ini dan memerintahkan Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan mendaftarkannya sebagai warganegara.
Remaja berkenaan ditinggalkan oleh ibu kandungnya ketika masih bayi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini dikenali Hospital Canselor Tunku Muhriz) pada Januari 2004 sebelum dipelihara oleh keluarga angkatnya.
Mereka menamakannya `CYM’ dan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan sijil kelahirannya dikeluarkan.
Hakim Tengku Maimun dalam keputusannya menyatakan, rayuan tersebut berkaitan persoalan sama ada seorang kanak-kanak yang ditinggalkan selepas dilahirkan, yang kemudian diambil sebagai anak angkat, layak diisytiharkan sebagai warganegara melalui peruntukan undang-undang.
Panel itu berpuas hati bahawa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tiada hak menolak permohonan mana-mana anak untuk mendapatkan kewarganegaraan jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan oleh undang-undang.
Tengku Maimun berkata, fakta bahawa remaja itu ditinggalkan selepas dilahirkan di HUKM tidak dipertikaikan dan diakui oleh Mahkamah Tinggi seperti yang terkandung dalam sijil kelahiran ketiganya.
Panel itu juga berpendapat, tiada keterangan yang menunjukkan keluarga angkatnya mengetahui mengenai peristiwa anak itu ditinggalkan dan menyembunyikan fakta tersebut.
Pada hemat Ketua Hakim Negara, Perkara 19B Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mentafsirkan bahawa beban untuk membuktikan bahawa ibu kandung kanak-kanak itu bukan pemastautin tetap di sini, terletak pada kerajaan.
Panel tersebut berpendapat, KDN memiliki segala jentera penting untuk mengesahkan identiti ibu kandung anak itu, jika bukan bapanya berdasarkan rekod kemasukan hospital.
Hakim Tengku Maimun berpendapat, oleh kerana bayi itu ditinggalkan di HUKM, anggapan boleh dibuat bahawa ibunya merupakan penduduk tetap berdasarkan Perlembagan.
Tengku Maimun menegaskan, kerajaan wajar memberi perhatian terhadap keputusan hari ini yang merupakan nas undang-undang (precedent) bagi menangani kes serupa pada masa akan datang.
Beliau menjelaskan, siasatan sewajarnya perlu dijalankan bagi menentukan status ibu bapa atau ibu kandungnya sewaktu menerima permohonan pendaftaran bayi yang baru dilahirkan.
Jelas panel tersebut, jika fakta didapati benar, mereka diwajibkan oleh undang-undang tertinggi negara untuk mengiktiraf permohonan kewarganegaraan berdasarkan undang-undang.
Pertikaian mengenai isu kewarganegaraan kanak-kanak itu bermula sewaktu usianya mencecah 12 tahun pada 2016, apabila JPN enggan mengeluarkan kad pengenalannya dengan menyatakan terdapat `sedikit ketidaktepatan’ yang mengaitkan nama kanak-kanak itu dan kakak angkatnya.
Pasangan berkenaan kemudian menyerahkan sijil kelahiran anak itu kepada JPN, namun JPN merekodkan maklumat ibu bapanya sebagai `maklumat tidak diperoleh’ dan status kewarganegaraan anak terbabit `belum ditentukan’ dalam sijil kelahiran kedua yang dikeluarkan.
Tidak berpuas hati dengan ketetapan tersebut, pasangan berkenaan memfailkan saman pemula Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2017 dan memohon semula sijil kelahiran baharu.
Remaja itu diwakili oleh peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das, Raymond Mah dan Jasmine Wong manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bing dan Mazlifah Ayob mewakili kerajaan.- UTUSAN ONLINE










