KLANG: Ketagihan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun menghisap syabu sejak setahun lalu memakan diri apabila dicekup di sebuah rumah di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang di sini, pagi tadi.
Remaja yang tidak lagi bersekolah itu antara 27 individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) di kawasan berkenaan, bermula kira-kira pukul 8 pagi.
Tangkapan sepanjang operasi bersepadu selama tujuh jam itu turut melibatkan tiga wanita yang didapati positif dadah dan remaja dikenali sebagai Zul (bukan nama sebenar) itu berkata, dia menghisap syabu pada awalnya hanya sekadar mahu mencuba dan terpengaruh dengan rakannya sejak tahun lalu.
“Namun, saya mula menjadi ketagih sehingga sanggup mencari rakan untuk melepaskan gian dadah berkenaan. Saya kali terakhir menghisap syabu malam tadi dan dicekup bersama seorang rakan di rumahnya pagi tadi,” katanya ketika ditemui dalam operasi itu.
Kesemua individu berusia 16 hingga 52 tahun itu dibawa ke Pejabat AADK Daerah Klang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.
Sementara itu, Mohd. Shahrizal berkata, operasi SMARD turut disertai polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Objektif utama operasi itu bertujuan membanteras aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di kawasan yang dikenalpasti sebagai Kawasan Berisiko Tinggi (KBT). Selain itu, ia bagi membersihkan sarang penagihan dadah dengan bertindak memutuskan permintaan bahan haram berkenaan di sesuatu kawasan,” katanya.
Tambah beliau, selain pangsapuri itu, operasi di daerah itu memfokuskan kawasan Taman Kem, Kampung Delek dan Kampung Keretapi.
“Seramai 87 individu sudah ditahan setakat ini dan turut melibatkan remaja bawah umur serta wanita. Justeru, ibu bapa dan ahli keluarga dinasihatkan sentiasa memantau pergerakan mereka bagi mengelak aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.