PRN Sarawak sebelum Krismas atau serentak Melaka? - Utusan Malaysia

PRN Sarawak sebelum Krismas atau serentak Melaka?

Daftar pemilih tambahan November 2023 diwarta hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang sepatutnya diadakan pada Julai lalu, kini boleh diadakan bila-bila masa sahaja daripada sekarang susulan penamatan proklamasi darurat negeri tersebut oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, menurut sumber Suruhajaya Pilihan Raya (SPR), pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi daripada Istana Negara sebelum mesyuarat bagi penetapan PRN Sarawak diadakan.

“Kami pun baru sahaja dimaklumkan mengenai perkara ini (penamatan darurat Sarawak) menerusi pelbagai laporan media tempatan tetapi belum dapat mengulas lebih lanjut,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah terbubar secara automatik pada 7 Jun lalu selepas mencapai tempoh matang lima tahun, tetapi proses PRN tidak dapat dilaksanakan.

Ia susulan pengisytiharan darurat selama enam bulan lagi pada 31 Julai lalu oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa sehingga 2 Februari 2022.

Namun, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 12 Januari lepas sudah terbatal dan diungkaikan oleh kerajaan pada 1 Ogos lalu setelah berakhir tempohnya.

Sehubungan itu, Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar tidak perlu memaklumkan notis pembubaran kepada SPR kerana DUN itu memang telah terbubar.

Uniknya, penamatan proklamasi untuk negeri itu dimohon sendiri oleh Yang Dipertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud apabila menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara semalam.

“Secara ideal, mungkin sesuai berlangsung sejurus tamat PRN Melaka pada 20 November ini dan barang kali semasa cuti persekolahan akhir tahun sebelum perayaan Krismas,” jelasnya.

Tempoh itu dianggap ‘cantik’ kerana cuti sekolah bermula 11 Disember sehingga 2 Januari dan juga mengambil kira kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Sarawak sudah 90 peratus.

Justeru ujar sumber, PRN Sarawak secara teknikal perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas proklamasi berkenaan ditarik balik oleh Seri Paduka iaitu sebelum 3 Januari 2022 kelak.

Malahan, seperti juga kes PRN di Sabah dan Melaka, pentadbiran awam Sarawak pun ketika ini bukan lagi di bawah Ketua Menteri, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

Sebaliknya, jentera kerajaan sementara Sarawak akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negerinya, Datuk Amar Jaul Samion sehingga ketua menteri yang baharu mengangkat sumpah.

“Kemungkinan PRN Melaka dijadikan model untuk PRN Sarawak kerana ia diadakan pada ketika Pelan Pemulihan Negara dengan banyak sektor ekonomi telah dibuka,” kata sumber.

Ini juga berdasarkan peralihan negara daripada fasa pandemik kepada endemik tetapi prosedur operasi standard (SOP) masih lagi kekal sama bagi mengekang penularan kes Covid-19.

Sementara itu, satu lagi sumber tidak menolak kemungkinan PRN Sarawak diadakan serentak PRN Melaka antara lain bagi menjimatkan kos dan atas beberapa faktor lain.

PRN Sarawak Ke-11 berlangsung selepas DUN dibubarkan pada 11 April 2016 dengan proses penamaan calon diadakan 25 April manakala tarikh pengundian pula 7 Mei tahun tersebut.

Ia mengambil tempoh hanya 27 hari dari tarikh pembubaran dengan Barisan Nasional (BN) menang  72 daripada keseluruhan 82 kerusi dan melibatkan 1.14 juta pengundi.

BN Sarawak yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDD turut bertindak keluar dari blok politik nasional itu menubuhkan Gabungan Parti Sarawak selepas Pilihan Raya Umum 2018. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya