PAGOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini bagi memberi laluan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kemampuan GPS yang dilihat mampu memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dalam PRN itu.
Kata beliau, tindakan itu juga dipercayai mampu memberi kemenangan besar kepada GPS sekali gus membuktikan sokongan Bersatu yang menghormati gabungan berkenaan.
“Kita telah berbincang di peringkat Bersatu bahawa kita tidak akan bertanding (PRN) kerana hendak memastikan parti yang sudah ada di Sarawak itu menang dengan cemerlang dan itu juga hasrat pimpinan GPS.
“Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita boleh menang, tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tidak menolak kemungkinan GPS sedia bekerjasama dengan parti-parti komponen PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – UTUSAN ONLINE