PRN Melaka satu permulaan - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

PRN Melaka satu permulaan – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah satu permulaan sebelum menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, ini kerana UMNO akan terus memperkasa dan memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) bersama parti-parti komponen yang lain.

“Saya ulangi bicara saya bahawa PRN Melaka adalah permulaan kita. PRU-15 merupakan destinasi kita. Kestabilan demi kemakmuran rakyat dan negara adalah misi kita.

“Terlalu banyak boleh dibicarakan tentang kemenangan mutlak BN dalam PRN Melaka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada akar umbi parti itu yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Syukur Alhamdulillah, sesungguhnya penilaian UMNO tentang apa yang terbaik demi masa depannya untuk rakyat ternyata tepat.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada suara akar umbi parti seluruh negara kerana menaruh kesetiaan, keikhlasan, kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi tersemat keyakinan bahawa UMNO mampu bangkit semula.

“Jelas keyakinan itu bukan kerana tamak, sombong atau angkuh, sebaliknya berdasarkan analisis yang ikhlas lagi jujur,” katanya.

PRN Melaka pada Sabtu lepas, BN diumumkan menang dengan majoriti selesa sebanyak 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN