PRN Melaka: MCW terima 20 aduan berkaitan rasuah - Utusan Malaysia

PRN Melaka: MCW terima 20 aduan berkaitan rasuah

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendakwa menerima 20 aduan berkaitan rasuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung sehingga semalam.

Bagaimanapun, aduan tersebut tidak dapat dilanjutkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan tidak mempunyai bukti yang cukup.

Aduan tersebut didakwa diterima sepanjang MCW berperanan sebagai ‘polis trafik’ bagi memberi ingatan dan kesedaran mengenai tanggungjawab memilih dan pencegahan rasuah serta pelanggaran undang-undang pilihan raya selama dua minggu.

Menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, aduan tersebut sehingga kini masih dianggap sebagai khabar angin apabila tiada saksi yang sanggup tampil untuk memberikan keterangan lanjut.

“Petugas MCW yang meliputi pasukan pemerhati rasmi lantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai lapan orang dan pasukan bantuan seramai 20 orang telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Kami bersyukur PRN Melaka berlangsung dengan aman dan lancar. Tahniah kepada  SPR dan SPRM serta  pasukan keselamatan yang telah berfungsi dengan sangat baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, MCW juga mengucapkan tahniah kepada parti yang menang dan semoga kestabilan dalam memajukan ekonomi negeri serta segera pulih dari ancaman virus Covid-19 akan tercapai.

“Setiap individu di Malaysia punyai kebebasan untuk memilih calon atau parti yang mereka sukai. Itulah asas demokrasi.

“Sekarang adalah masanya untuk kita raikan perbezaan itu dan eratkan semula tali persaudaraan. Rakyat Malaysia kelihatan semakin bijak dan matang dalam proses ini dan menjaga keharmonian negara dengan cukup baik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN