SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebaliknya memberikan peluang itu kepada Pas yang mempunyai sokongan akar umbi dan pengundi Melayu lebih kuat.
Hal itu dapat dilihat menerusi keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila dua kerusi yang dimenangi parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dan Paya Rumput didakwa kerana sokongan daripada pengundi Pakatan Harapan (PH).
Malah, sebahagian besar pengundi tersebut adalah daripada masyarakat Cina dan India.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang mendakwa dalam PRU-14, Bersatu yang diwakili Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen di Paya Rumput dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) tanpa PH akan kalah dengan kekurangan lebih 3,000 majoriti.
“Dua kerusi yang PPBM (Bersatu) menang di Paya Rumput dan Telok Mas pada PRU-14 yang lalu adalah kerana pengundi PH dan pengundi bukan Melayu yang kali ini tidak akan mengundi Bersatu lagi.
“Di Paya Rumput, Mohd. Rafiq (PPBM) mendapat 12,102 undi. Namun dua per tiga atau 8,000 daripada undi ini adalah dari undi Cina dan India. Tanpa undi ini beliau akan kalah dengan lebih 3,000 majoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, jika kini UMNO digesa memberi laluan kepada Bersatu untuk terus pertahankan kerusi berkenaan, sebahagian besar pengundi Melayu termasuk hampir 8,000 pengundi UMNO di Paya Rumput kemungkinan tidak akan sokong Mohd. Rafiq dan akan kalah dengan lebih besar walaupun dengan undi Pas.
Justeru, beliau menggesa Bersatu supaya tidak bertanding dalam PRN Melaka dan memberi laluan kepada Pas yang mempunyai akar umbi dan sokongan lebih kuat terutama dalam kalangan pengundi Melayu.
“Biar UMNO dan Pas sahaja yang melawan PH di kawasan-kawasan Melayu di bawah Muafakat Nasional (MN) supaya undi Melayu tidak pecah. Ini kerana seperti Pas di Sabah, jumlah sokongan dan akar umbi PPBM di Melaka adalah sedikit.
“Walaupun Pas tidak menang apa-apa kerusi di Melaka dalam PRU-14 lepas berbanding PPBM yang menang dua kerusi, Pas mempunyai sokongan pengundi dan akar umbi Melayu lebih besar dari PPBM di Melaka,” jelasnya.