PENDANG: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjaya mencapai objektif banyak pihak yang menolak Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memerintah di negeri itu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, kemenangan itu menunjukkan rakyat mahu pimpinan parti Melayu Islam terus memerintah.
Bagaimanapun, katanya, beberapa faktor perlu diberi perhatian memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sama sekali dilihat berbeza berbanding PRN Melaka.
“Peratusan individu yang keluar mengundi di Melaka cuma antara 60 hingga 65 peratus. Bermakna ada kira-kira 40 peratus lagi pengundi yang tidak keluar terutamanya membabitkan golongan berusia antara 21 hingga 35 tahun.
“Mereka ini golongan yang skeptikal dan mungkin ada juga dalam kalangan pengundi terutamanya yang tinggal di luar Melaka, sudah hilang rasa ‘ghairah’ untuk balik menunaikan tanggungjawab itu. Ini antara perkara yang perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.
Mengulas lanjut Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pelaksanaan undi18 pada tahun depan juga bakal membawa satu perubahan drastik dalam landskap politik tanah air.
Katanya, ini bermakna penyatuan ummah terutama di peringkat Persekutuan perlu diperkukuhkan bagi memastikan masa depan umat Islam lebih terjamin.
“Tahniah kepada BN atas kemenangan mereka di PRN Melaka semalam. Kita perlu lihat semula semua perkara dari segenap sudut. Kalau peratusan mengundi semalam mencecah 80 peratus, ia mungkin mengubah keputusan.
“Namun di sini kita melihat orang Melayu berbalik kepada penyatuan ummah. Negara kita pernah diperintah PH selama 22 bulan dan keputusan semalam saya rasakan sesuatu yang positif kepada penyatuan ummah agar umat Islam dan agama lebih terjamin,” katanya. – UTUSAN










