Polis Perak sasar kekal rekod penurunan kadar jenayah - Utusan Malaysia

Polis Perak sasar kekal rekod penurunan kadar jenayah

MIOR Faridalathrash Wahid menunjukan kamera sistem iCOPS dalam sekatan jalan raya di Jalan Perpaduan dalam Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ipoh semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak menyasarkan indeks jenayah di negeri ini kekal merekodkan penurunan meskipun tiada lagi sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rakyat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan mengurangkan kes jenayah dilakukan dengan mempergiatkan rondaan dan kawalan khususnya di lokasi panas selain di kawasan perumahan dan perniagaan.

Katanya, pendekatan omnipresence atau kehadiran polis di kawasan tumpuan ramai akan diguna pakai untuk melahirkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Trend jenayah di negeri ini masih terkawal dengan merekodkan penurunan sebanyak 468 kes iaitu 2,576 kes pada tahun ini berbanding 3,044 kes dalam tempoh sama tahun lalu. 

“Bagaimanapun, kita bimbang indeks jenayah ini akan meningkat susulan orang ramai mula bebas bergerak kita percaya penjenayah turut bergerak sama.

“Sebagai contoh, dalam tempoh seminggu dua ini, kes jenayah yang dilaporkan di Perak agak tinggi melibatkan kes pecah rumah dan curi, kecurian motosikal dan kereta,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, operasi serentak di seluruh negeri itu menyasarkan kawasan-kawasan yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah pecah rumah, curi, ragut dan samun selain kawasan penagihan dadah.

Katanya, peranti pengimbas nombor pendaftaran kenderaan (iCOPS) juga akan digunakan bagi mengesan pesalah trafik dengan tunggakan kompaun dan waran tangkap.

“Dalam operasi bersepadu ini, kita juga akan membuat pemeriksaan orang dikehendaki, local bad character dan registered bad character‘ bersangkut kes-kes jenayah.- 

“Diharap dengan usaha yang dijalankan ini dapat mengurangkan kegusaran masyarakat terhadap kejadian jenayah di kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 11 malam hingga 3 pagi hari ini di Ipoh, lima lelaki ditahan bersabit kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam operasi selama empat jam itu, seramai 492 individu diperiksa dengan pemeriksaan juga dijalankan ke atas 336 buah kenderaan.

Sebanyak 27 saman dikeluarkan dengan dua kenderaan disita. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya