SHAH ALAM: Polis sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan kes seorang pemberi pinjaman wang atau ah long yang maut ditetak di hadapan sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, polis sudah mengenal pasti identiti semua individu berkenaan.

“Mereka yang dikehendaki iaitu Low Chee Boon, 40; Lim Chee Hau, 39; Tan Kok Pin, 34, dan Yap Chin Hock, 58.
“Tiga daripada mereka beralamat terakhir di sekitar Jenjarom, Kuala Langat manakala seorang lagi di Pelabuhan Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari Sabtu lalu, mangsa mati ditetak dengan parang oleh dua penjenayah selepas menikmati makanan di sebuah kopitiam.
Lelaki berusia 47 tahun berkenaan bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun sebelum itu sedang menuju ke kereta mereka.
Namun, mangsa ditetak dan sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah lalu maut di hadapan sebuah restoran lain.
Jelas Nik Ezanee, polis setakat ini sudah menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
“Kesemua tangkapan direman sehingga 13 November depan bagi membantu polis merungkai kejadian dan mengesan individu lain yang terlibat.
“Siasatan terperinci masih dijalankan termasuk punca dan motif sebenar mangsa dibunuh,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya di balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohamad Syahrir Zabidi di talian 012-6650895. – UTUSAN