Polis ditahan dakwaan meminta wang di SJR - Utusan Malaysia

Polis ditahan dakwaan meminta wang di SJR

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta wang daripada warga Palestin ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Gombak Lama di sini, Sabtu lalu. 

Ini susulan laporan dibuat mangsa yang merupakan pelajar sebuah universiti awam di Gombak kira-kira pukul 11.42 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 10.40 pagi, 9 November lalu apabila mangsa bersama bapanya dalam perjalanan ke universiti tersebut telah ditahan oleh anggota polis di SJR di hadapan SK Gombak Utara, Batu 7, Jalan Gombak. 

Katanya, pemeriksaan lanjut oleh seorang daripada anggota polis bertugas mendapati bapa mangsa tidak membawa pasport dan hanya menunjukkan gambar pasport di dalam telefon bimbit.

“Anggota tersebut dikatakan menerima sejumlah wang bagi melepaskan bapa mangsa daripada mengambil tindakan atas kegagalan menunjukkan pasport yang sah.

“Siasatan telah dijalankan dan kita telah menahan seorang anggota polis berusia 22 tahun yang bertugas sebagai anggota tugas am di Balai Polis Gombak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambah Zainal Mohamed, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan.

Ujarnya, sekiranya terdapat maklumat tambahan dari orang awam boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd. Fildza Bin Che Ibrahim di talian nombor 03 – 61262222 atau 016 – 9537372.

Sabtu lalu, Zainal Mohamed mengesahkan pihaknya merakam keterangan beberapa anggotanya selepas tular di media sosial dakwaan meminta wang daripada warga Palestin ketika ditahan dalam SJR di lokasi kejadian. 

Beliau berkata, pemilik akaun berkenaan juga memuat naik beberapa rakaman suara rakannya dipercayai seorang warga Palestin ketika ditahan polis.

Jelasnya, mangsa turut mendakwa ketika pemeriksaan dibuat, seorang anggota bertugas meminta wang atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen diri yang sah.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.