SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) memilih membuat pengumuman nama calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka luar dari negeri itu berikutan banyak sekatan berkaitan pilihan raya di negeri itu.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun lokasi dipilih adalah luar dari Melaka namun ia tetap diadakan dalam suasana patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sama ada (di) Selangor, Kuala Lumpur, kita tahu di Melaka banyak sekatan-sekatan disebabkan oleh keputusan oleh MKN berkaitan pilihan raya.
“Jadi (kita) buat luar dari Melaka dan patuh SOP,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon PN untuk PRN Melaka dan Penyerahan Watikah Calon, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, pihaknya yakin rekod kerajaan PN mentadbir negara terutama ketika membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19 boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi di Melaka.
“Kita tidak menjanjikan bulan dan matahari kepada rakyat tetapi kita mempunyai komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat oleh rakyat, kita mesti melakukan yang terbaik.
“Rekod Kerajaan PN mentadbir negara boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi negeri Melaka. Kita prihatin kepada nasib rakyat dan melaksanakan apa jua perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi waktu yang paling sukar dalam hidup mereka.
“Saya tidak berniat untuk mendabik dada, tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan PN. Inilah buku rekod kita yang akan kita bentangkan kepada rakyat,” ujarnya.
Seramai 15 calon Bersatu, Pas (8) dan Gerakan (5) diumumkan untuk bertanding mewakili PN pada PRN Melaka pada 20 November ini. – UTUSAN