PM lancar Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 - Utusan Malaysia

PM lancar Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dilancarkan sebagai usaha untuk mengembalikan semula impian asal tentang perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.

Katanya, Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.

Justeru, katanya, Kementerian Perpaduan akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inklusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.

Pelan ini dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi. Ini mampu memanfaatkan keluarga merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.

“Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar.

“Kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan yang lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang kita perolehi seharian untuk membantuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika merasmikan pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Tambah Ismail Sabri, pelan tindakan yang dilancarkan ini bukan sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata, sebaliknya merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting.

“Lima teras strategik itu adalah memelihara sistem demokrasi Raja Berperlembagaan; membentuk masyarakat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan, memperkasakan sosioekonomi yang adil dan saksama 

“Teras strategik keempat adalah menjamin keterbukaan dan toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi kebudayaan dan teras kelima membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang turut melancarkan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 berkata, pelan ini akan memberi tumpuan terhadap empat dimensi iaitu karib; aksesibiliti; majmuk dan inklusiviti.

Katanya, pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

“Pendedahan ini juga adalah signifikan supaya masyarakat berlainan etnik dapat mengawal percakapan dan perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama serta budaya etnik lain sehingga sering menjadi pencetus reaksi negatif. Kita impikan kemakmuran bersama antara Keluarga Malaysia kerana ia merupakan asas kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara ini.

“Diharap Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya