PM buat isteri allahyarham Mohd. Diya terharu - Utusan Malaysia

PM buat isteri allahyarham Mohd. Diya terharu

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) menyerahkan surat tawaran pengajian kepada Muhammad Daniel Hakimi Mohd Diya, 18, pada program ramah mesra di Bilik Gerakan DUN Sungai Udang, Tangga Batu, Melaka di sini hari ini. UTUSAN / RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA  – “Terima kasih, Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap kami sekeluarga,” demikian  ujar ringkas, Noraida Che Noh, isteri kepada Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Allahyarham, Mohd. Diya Che Jusoh yang lemas dalam kejadian banjir di Sungai Putat, pada 21 Oktober lalu.

Menurutnya, tiada ungkapan mampu diluahkan melainkan mengucapkan rasa syukur apabila Datuk Seri Ismail Sabri menyampaikan surat tawaran melanjutkan pelajaran buat anak sulungnya, Muhammad Daniel Hakimel, 18, di Kolej Komuniti Bukit Beruang, kemasukan tahun hadapan.

“Saya sangat terharu serta bersyukur kepada Perdana Menteri datang dan menyerahkan surat tawaran itu kepada anak sulung saya.

“Sudah lama anak saya hendak melanjutkan pelajaran dan hari ini impiannya menjadi kenyataan sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin terhadap masalah rakyat,” ujarnya  sewaktu ditemui di Dataran Baitul Tariq, Klebang Permai di sini hari ini.

Dalam satu majlis ringkas Ismail Sabri menyampaikan surat tawaran kepada Noraida yang turut disertai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang juga calon Barisan  Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Terdahulu, Ismail bersama Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa tiba di Baitul Tariq bertemu empat calon BN selain Mohamad Ali ialah Datuk Rais Yassin (Paya Rumput), Datuk Lim Ban Hong (Klebang) dan Tuminah Kadi@ Mohd. Hashim (Pantai Kundur).

Selain anak sulung allahyarham Mohd. Diya, empat lagi adiknya, Nurul Ain Balqis, 16; Muhammad Danish Hakim, 12 dan Nurul Annisa Ilya, 9, juga mendapat pembiayaan pembelajaraan daripada syarikat Ranhill Holding Berhad.

Sementara itu, Muhammad Daniel Hakimil melahirkan rasa terkejut apabila mendapat tahu Perdana Menteri akan menyampaikan surat tawaran untuk dia melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang dalam bidang automotif kemasukan tahun hadapan.

“Akhirnya impian dan hasrat arwah ayah saya menjadi kenyataan. Saya bangga dapat peluang melanjutkan pelajaran dan terharu apabila Perdana Menteri sampaikan surat ini kepada saya sekeluarga,” ujarnya.

Katanya, dia memang meminati bidang automotive sejak berusia enam tahun dan apabila menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Kolej Komuniti Bukit Beruang, impiannya kini menjadi kenyataan.

Dalam kejadian 21 Oktober lalu, Mohd. Diya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah telah tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras sewaktu banjir kilat melanda di Kampung Sungai Putat.

Allahyarham disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka kira-kira pukul 3.11 pagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN