KUALA TERENGGANU: Kepemimpinan tertinggi Pas digesa menyatakan pendirian tetap parti berhubung kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Perwakilan Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, langkah itu penting kerana masih wujud perpecahan antara MN dan PN di negeri itu sekali gus menyebabkan agenda penyatuan ummah yang dirintis Pas sekadar omong kosong.
“Jika tiada penyatuan, harapan untuk merampas Pulau Pinang daripada DAP hanya retorik kerana apa yang berlaku di sini adalah disebabkan tiada kerjasama parti Melayu-Islam.
“Dengan adanya pendirian daripada pimpinan parti, maka ahli di peringkat akar umbi boleh terus mendukung permuafakatan seperti yang dipromosikan Pas,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Pas Ke-67 di Duyong Marina & Resort di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Razib menyarankan Jabatan Penerangan Pas untuk menjadikan situasi politik di Pulau Pinang sebagai isu nasional demi memelihara nasib orang Melayu.
Dakwanya, terdapat usaha melenyapkan orang Melayu dengan pelbagai taktik DAP termasuk mahu menjadikan kawasan majoriti Islam di Seberang Perai Utara sebagai pusat penternakan khinzir terbesar Pulau Pinang.
“Selain itu rancangan laluan lebuhraya di Bagan Ajam dan Teluk Air Tawar juga seolah-olah sengaja mahu mengusir orang Melayu dari Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN ONLINE









