PUTRAJAYA: Perbincangan serta perincian lanjut berhubung hasil dapatan dan syor Kajian Impak serta Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 akan diadakan pada mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) 9 Disember ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara tersebut diadakan sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri kelak.
“Mesyuarat MPGN telah berlangsung semalam dan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) membentangkan hasil dapatan dan syor Kajian Impak dan Kajian Semula PGM 2020 untuk pertimbangan majlis.
” Bagaimanapun, majlis belum membuat sebarang keputusan pada mesyuarat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, antara yang dibincangkan dalam mesyuarat ini termasuklah cadangan daripada majikan supaya kadar gaji minimum sedia ada dikekalkan.
“Pekerja pula mengesyorkan supaya kadar gaji minimum yang dilaksanakan ketika ini dapat dinaikkan,” ujarnya.
Pada 16 November lalu, Saravanan dilaporkan berkata, JTPGN akan membentangkan hasil dapatan Kajian Impak dan Kajian Semula PGM 2020 kepada MPGN Khamis ini.
Dalam kajian tersebut, JTPGN mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus membabitkan wakil majikan dan pekerja, pertubuhan majikan, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input mengenai impak pelaksanaan gaji minimum terhadap sosioekonomi negara. -UTUSAN ONLINE









