KUANTAN: Penyertaan bukan bumiputera dalam Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) masih rendah setiap kali pengambilan anggota terbabit di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Secara keseluruhannya, ia disertai mahasiswa Melayu dan bumiputera yang peratusannya antara 96 ke 97 peratus.
Ia bermakna, tidak sampai lima peratus mahasiswa bukan bumiputera menyertai Kor Sispa setiap kali pengambilan.
Setakat ini, 31 IPT termasuk 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah menubuhkan Kor Sispa dengan APM menyediakan kuota 30 ahli setiap pengambilan manakala IPT boleh menambah jumlah itu jika mempunyai peruntukan sendiri.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, kurang pendedahan tentang APM mungkin antara punca mahasiswa bukan bumiputera kurang berminat menyertai pasukan tersebut.
“Kita (APM) akan cuba mempertingkatkan penyertaan mahasiswa bukan bumiputera dalam Kor Sispa kerana khidmat mereka diperlukan dalam menghadapi bencana seperti dalam aspek komunikasi.
“Selain itu, ia juga selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia yang diilhamkan kerajaan ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid.
Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abd. Aziz Abd. Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor.
Pada majlis itu, seramai 870 Pegawai Kadet Kor Sispa daripada 24 IPT dan satu Institusi Pendidikan Guru (IPG) menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda.
Majlis tersebut anjuran UMP dengan kerjasama APM dan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.
Majlis pentauliahan pada tahun ini diadakan secara dalam talian dan di IPT masing-masing atau gabungan di antara IPT dengan kapasiti yang minimum mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.