Pentadbiran baharu Melaka perlu jadikan manifesto BN sebagai panduan - Utusan Malaysia

Pentadbiran baharu Melaka perlu jadikan manifesto BN sebagai panduan

MOHAMAD Hasan sewaktu berucap merasmikan Persidangan Agung Kali Ke-6 Sesi 2020 Persatuan Solidariti Nasional (Persona di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perjalanan pentadbiran kerajaan Negeri Melaka selepas ini mestilah berpandukan kepada manifesto bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang ditawarkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan merangkap Pengarah PRN Melaka berkata, sebagai individu yang membentangkan manifesto tersebut, beliau akan melihat perjalanan pentadbiran kerajaan Melaka dan berharap dapat ditunaikan secepat yang mungkin.

“Manifesto itu adalah pandu arah yang baik yang boleh dijadikan asas kepada pentadbiran negeri yang baharu. Kita buat manifesto bukan reka-reka sahaja, apa yang kita letak dalam Aku Janji tersebut merupakan suatu yang boleh dibuat, bukan untuk sedapkan hati pengundi tetapi akhirnya tidak dapat dilakukan.

“Kami tidak mahu begitu, kami tahu bahawa selepas lima tahun lagi, kita perlu berhadapan semula dengan pengundi dan bertanggungjawab terhadap apa yang dijanjikan.

“Saya akan lihat perjalanan kerajaan Melaka suapay manifesto yang saya bentangkan, ditunaikan secepat mungkin dan juga sehingga berjaya yang boleh. Saya yakin, kumpulan gabungan wakil rakyat yang diberikan mandat oleh rakyat kepada BN ini merupakan gabungan yang mempunyai kepelbagaian layar belakang yang boleh dijadikan pasukan mantap untuk mengurus tadbir negeri Melaka,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya berhubung kemenangan besar BN dalam PRN Melaka semalam, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, kemenangan itu merupakan satu isyarat daripada rakyat jelas daripada rakyat yang mahukan kestabilan dalam kerajaan.

“Kami gembira dengan keputusan ini, tapi ini adalah satu keputusan daripada rakyat Melaka yang jelas memberikan isyarat bahawa mereka mahukan kestabilan, kerajaan yang boleh bawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada negara dan negeri, itu isyarat yang saya boleh baca.

“Kami bersyukur di atas kemenangan tersebut tetapi ini merupakan amanah yang besar yang diberikan kepada BNM agar kerajaan Melaka yang baharu mengurus tadbir negeri Melaka dengan baik, itu harapan rakyat. 

“Kemenangan besar diberikan rakyat Melaka itu perlu diterjemahkan kepada satu tanggungjawab dan amanah yang besar kepada kami, saya harap ini juga sentimen di seluruh negara dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Melaka kerana beri kepercayaan kepada BN,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, katanya, BN tetap akan mengadakan pasca nilai (post mortem) hasil keputusan PRN Melaka semalam terutama berkaitan keberkesanan jentera pilihan raya BN kali ini.

“Kita akan buat pasca nilai pada hari Isnin minggu hadapan, saya sudah minta war room untuk buat kajian kes, dalam berperang ini kita lalui corak yang pelbagai yang kemudian kita kutip dan kaji, jika ia berlaku semula apa langkah kita, kita tidak mahu jatuh terduduk.

“Alhamdulillah, kita menang banyak kerana dapat sesuaikan keadaan pada ketikanya, jadi itu yang penting , jentera kita timba banyak pengalaman di Melaka, kita pungut isu-isu yang boleh dijadikan teladan, ada contohnya yang perlu kita ikut dan kikis daripada kebiasaan, ini penting,  bukan hanya kita kalah kita buat pasca nilai tetapi menang pun kita buat,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN