Pengurusan masa penting tentukan kemajuan - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Pengurusan masa penting tentukan kemajuan – Raja Muda Perlis

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (tengah) berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Fhaizul Izwan Fadzil, 41, di Kampung Bangsal Lebah, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Pengurusan masa yang baik merupakan salah satu faktor utama membawa kemajuan kepada sesebuah organisasi, negeri dan negara dalam pelbagai aspek.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sikap melengah-lengah atau menangguh-nangguhkan masa terutama dalam urusan pentadbiran dan pelaksanaan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta haruslah dibendung kerana ia mampu memberi impak negatif kepada semua.

Katanya, kelewatan membuat keputusan dan kelulusan atau menyiapkan sesuatu projek seperti dalam sektor pembinaan bukan sahaja boleh membawa kepada kerugian tetapi mendatangkan masalah kepada pihak lain seperti pembeli yang telah mempunyai rancangan tersendiri dalam jangka masa tertentu.

“Bayangkan sebuah projek seperti pembinaan lot-lot rumah kedai yang sepatutnya mengambil masa setahun tertunda hingga dua tahun atau lebih akibat kegagalan sesetengah pihak menguruskan masa dengan sewajarnya.

“Ini akan menyebabkan kerugian daripada segi kos berikutan kenaikan harga barangan dan bekalan bahan binaan serta upah semasa. Bukan itu sahaja, ia akan turut menjejaskan perancangan selepas siap pembinaan seperti kemudahan dan sewaan unit.

“Lebih parah lagi jika akhirnya projek berkenaan terbengkalai dan akhirnya menjadi ‘gajah putih’ sedangkan ianya dapat membawa kepada pembangunan ekonomi negeri serta penduduk setempat jika diuruskan dengan betul mengikut masa yang ditetapkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa wang tunai, beras fidyah serta bekalan makanan mentah kepada Fhaizul Izwan Fadzil, 41, di Kampung Bangsal Lebah di sini, semalam.

Hadir sama mengiringi baginda, Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.

Sumbangan tersebut adalah daripada MAIPs dan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan.

Fhaizul Izwan yang bekerja sebagai tukang rumah dan tidak mempunyai pendapatan tetap adalah merupakan penerima bantuan sara hidup berkala dan bantuan bencana MAIPs.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN