MELAKA: Minggu kedua berkempen menyaksikan peningkatan mendadak sokongan pengundi-pengundi di kawasan Masjid Tanah kepada Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Masjid Tanah, Nazri Ramli berkata, penjenamaan semula yang dibuat PN telah mendapat perhatian para pengundi.
Katanya, yang menjadi penentu kepada kemenangan PN adalah pengundi senyap yang kini dilihat terarah kepada gabungan itu.
“Masuk minggu kedua memang nampak peningkatan sokongan kepada PN. Pengundi juga mula tertarik dengan penjenamaan semula yang kita lakukan.
“Akan ada satu kejutan yang baik untuk PN nanti,” katanya dalam sidang akhbar khas di Markas Pas Masjid Tanah di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Pas Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Imran memaklumkan, keputusan pada pilihan raya sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kemenangan kerana calon-calon yang bertanding adalah muka baharu.
Katanya, Pas meletakkan calon-calon yang kompeten di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dan Taboh Naning bagi menarik keyakinan pengundi di kawasan berkenaan.
“Calon bukan orang asing di kawasan berkenaan, contohnya di Kuala Linggi dan pengundi memang mengenali beliau. Selain itu, dengan kerjasama erat bersama rakan komponen PN, Insya-Allah dengan gelombang yang ada, kita boleh capai kemenangan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










