ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 746 set bubu naga di sekitar perairan negeri ini sejak Januari hingga 16 November lepas.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, hasil pemantauan secara berkala yang dilakukan pihaknya mendapati berlaku peningkatan aktiviti penggunaan bubu naga di sepanjang perairan itu.
“Pada 16 November, sebanyak 15 set bubu naga dirampas bot Kilat 29 di kedudukan 0.2 Tanjung Jaga, Yan sekitar pukul 3 petang dengan anggaran nilai RM1,800. Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
“Sepanjang operasi pemantauan dilakukan, beberapa lokasi yang sering dijadikan kawasan tumpuan dikenal pasti antaranya di perairan Yan dan Kuala Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat tahun ini, dua suspek ditahan bersama 20 set bubu naga dan sebuah bot gentian dengan hasil tangkapan seberat 10 kilogram di 0.4 batu nautika Pantai Dulang Yan dengan nilai rampasan anggaran RM28,580.
“Anggaran bagi kesemua bubu naga yang dirampas pada tahun ini pula bernilai lebih kurang RM 89,520,” katanya.
Jelas beliau, penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh mengancam dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai yang lain.
“Namun disebabkan bubu naga tidak memerlukan modal yang tinggi dan mudah didapati termasuk di platform e-dagang, ia menjadi pilihan kepada mereka yang menginginkan keuntungan yang lebih besar serta lebih mudah.
“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan,” tegas beliau.
Tambahnya, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.
“Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya. -UTUSAN ONLINE