KUALA LUMPUR : Bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan diri dengan lebih tepat, golongan remaja perempuan daripada keluarga berpendapatan rendah B40 berpeluang mengikuti program pendidikan kesihatan reproduktif secara dalam talian.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, program tambahan itu dikendalikan Pembimbing Remaja KafeTEEN dan mereka akan didaftarkan sebagai ahli baharu Sahabat KafeTEEN bagi mendapat pengetahuan serta bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.
“Pemberian kit kebersihan diri ini mampu membantu golongan wanita terutama remaja perempuan kembali pulih dan sihat tubuh badan, fizikal dan mental, membantu setiap individu wanita mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat.
“Ia juga sebagai keprihatinan dan sokongan moral kepada remaja dan wanita terutama yang memerlukan ketika negara berada dalam fasa pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada bajet lalu, kerajaan memperuntukkan 130,000 kit setiap bulan kepada penerima kit asas kebersihan diri seperti tuala wanita bagi remaja perempuan B40 secara percuma.
Ia membabitkan 1.56 juta kit dalam tempoh setahun dengan nilai lebih RM6.24 juta.
“Saya berharap dengan pemberian Kit Kebersihan Asas ini akan dapat menyumbang kepada outcome iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan wanita dan keluarga dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan kesedaran dan memperkasa remaja tentang kepentingan penjagaan kebersihan peribadi dan kesihatan reproduktif.
“Selain itu ia dapat mengurangkan keciciran pelajar ke sekolah akibat impak negatif kemiskinan haid terhadap remaja perempuan terutamanya tekanan mental, meningkatkan taraf kesihatan dan jati diri remaja perempuan menghadapi cabaran masa kini.
“Projek pemberian kit ini juga akan membangunkan pangkalan data bagi tujuan pengumpulan data tentang golongan remaja perempuan di lokaliti bersasar,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE