Penantian lima tahun gadis OKU mencari kerja berakhir - Utusan Malaysia

Penantian lima tahun gadis OKU mencari kerja berakhir

PENTERJEMAH bahasa isyarat dan pegawai Perkeso memberi penerangan kepada peserta OKU yang hadir ke Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Usaha keras seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang tidak kenal erti jemu mencari peluang pekerjaan di pelbagai tempat sejak lima tahun lalu membuahkan hasil apabila akhirnya dia diterima bekerja.

Farah Azira Mohd. Nor, 31, yang mengalami masalah bisu itu diterima bekerja sebagai penjaga kaunter sebuah pasar raya selepas menghadiri temu duga di Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

“Saya pergi temuduga banyak tempat sehingga ke Pulau Pinang. Tapi, semua permohonan saya ditolak, memang sedih, tapi saya tidak putus asa.

“Dalam tempoh lima tahun tiada kerja, saya jadi babysitter (pengasuh bayi). Saya bersyukur sangat hari ini akhirnya saya diterima bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Farah Azira yang merupakan anak kedua daripada lima adik beradik itu dan mempunyai kelulusan Sijil Kemahiran Khas Politeknik dalam bidang reka bentuk grafik berharap lebih banyak majikan memberi peluang kepada OKU untuk bekerja dan tidak melakukan diskriminasi.

“Orang OKU juga mahu bekerja sekiranya diberi peluang, justeru, saya menyeru rakan-rakan OKU supaya tidak berasa rendah diri dan menghadiri temuduga yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Firdhauz Abdul Rashid, 24, yang merupakan OKU yang mengalami masalah hilang pergerakan (lumpuh) akibat kemalangan empat tahun lalu pula berkata, dia berharap mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik. 

Menurutnya, penganjuran karnival itu sangat membantu dan memudahkan OKU sepertinya untuk mencari pekerjaan. 

“OKU ini ada yang berpelajaran. Kami bukannya memilih, tapi mahu juga diberi peluang bekerja sama seperti orang normal. 

“Sebelum ini, saya bekerja memasukkan data penerimaan barang di sebuah syarikat, tetapi, mereka tidak memahami keadaan saya,” katanya yang mempunyai sijil kemahiran Microsoft dan Excel. 

Muhammad Firdhauz mengakui pada awalnya bukan mudah untuknya menerima hakikat dirinya kini OKU sehingga terperap dua tahun dalam rumah.

“Selepas kemalangan itu, dua tahun saya duduk rumah kerana tidak yakin pada diri sendiri.

“Selepas selesai jalani rawatan, saya terus buat keputusan mencari kerja dan mahu majukan diri,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.