Pemimpin BN, PN, PH langgar tempoh berkempen? - Utusan Malaysia

Pemimpin BN, PN, PH langgar tempoh berkempen?

TANGKAP layar ciapan yang dimuat naik oleh Kor Ming di Twitternya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa pemimpin daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Perikatan Harapan (PH) didakwa melanggar tempoh berkempen ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Mereka terdiri daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang memuat naik hantaran dipercayai berkempen dalam laman sosial mereka. 

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau memuat naik poster di Instagram story buat pengundi Melaka yang mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. 

Dalam poster yang dimuat naik itu, ia memaparkan imej animasi agar memilih BN beserta tanda pagar kestabilan dan kemakmuran. 

Abdul Hadi pula memuat naik sebuah video bertajuk ‘Pesan Ayah Chik berikan peluang PN perintah Melaka’. 

“Berikan peluang kepada Perikatan Nasional untuk memerintah Melaka,” tulisnya dalam hantaran itu, hari ini.

Meskipun video tersebut dipercayai sebuah video lama yang baharu dimuat naik, namun ia tetap dilihat menyalahi perintah dikeluarkan SPR semasa hari pengundian. 

Sementara itu, Kor Ming yang juga ahli Parlimen Teluk Intan turut didkawa  berkongsi beberapa poster menggesa pengundi Melaka memilih PH.

Dalam hantaran itu, beliau menggesa pengundi Melaka memilih PH untuk menyelamatkan negara dan masa depan anak-anak mereka. 

“Jangan sesekali benarkan orang fanatik, katak politik dan pencuri menentukan nasib anda. Jom, undi!,” ujarnya di laman Twitter pada pukul 1.10 petang ini. 

Dalam kenyataan semalam, SPR mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam, 19 November 2021. 

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi. 

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuk di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain. 

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN