PETALING JAYA: Pembangunan dua jenis vaksin Covid-19 yang menggunakan virus dilemahkan dan mRNA oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) adalah antara tiga projek awal untuk dilaksanakan di bawah Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan vaksin berkenaan akan tertumpu kepada varian yang membimbangkan (VOC) terdapat di negara ini dengan peruntukan disalurkan oleh kerajaan menerusi penyelidikan Kementerian Kesihatan dan Sukuk Prihatin iaitu bantuan khas peruntukan penyelidikan Covid-19 yang berjumlah RM3.5 juta.
Menurut Ismail Sabri, projek kedua adalah pembangunan vaksin Kolera menerusi kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga membiayai projek berkenaan menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) berjumlah RM10.5 juta bertajuk Development of Mucosal/Oral/Subunit Vaccines Against Cholera, Tuberculosis and Covid-19.
“Ketiga adalah Projek Pre-clinical Evaluation of A Therapeutic Cancer Vaccine for The Treatment of Head and Neck Cancer oleh Penyelidikan Kanser Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Bagaimanapun, memandangkan tiada kemudahan ujian klinikal iaitu first in human di Malaysia pada ketika ini, maka CRM akan menjalankan ujian klinikal bermula Februari 2022 sehingga Mac 2023 di United Kingdom (UK),” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PPVN dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) hari ini.
Ismail Sabri justeru berharap, kerajaan akan melaksanakan strategi digariskan itu secara berperingkat dan menggunakan rangka kerja PPVN agar perancangan dapat dilaksanakan secara sistematik dan berfokus.
“Kesemua ini memerlukan kebersamaan Keluarga Malaysia. Justeru, saya berharap semua pihak dapat menggembleng tenaga dalam usaha agar Malaysia mampu menjadi salah sebuah negara pengeluar vaksin utama dunia,” jelas beliau.
Perdana Menteri kemudian memberitahu, pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan vaksin walaupun memerlukan pelaburan tinggi, tetapi berpotensi memberikan pulangan jangka panjang buat rakyat melalui penjimatan kos merawat penyakit selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke negara ini.
Beliau menambah, malah modal insan berkemahiran tinggi melalui pelbagai bidang penyelidikan terutamanya berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat.
“Malah Malaysia juga mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sekali gus menjadi hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin,” jelas beliau.
Menyentuh langkah menaik taraf Institut Genom Malaysia (MGI) kepada MGVI, Ismail Sabri yakin langkah berkenaan dapat memberikan kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan luar.
“Naik taraf ini bersesuaian dengan skop MGI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin,” katanya.
Dalam pada itu Ismail Sabri memberitahu, kerajaan komited meningkatkan keupayaan sektor kesihatan khususnya penghasilan vaksin dalam memastikan negara sentiasa bersiap siaga berhadapan pandemik mendatang dan secara langsung dapat memperkukuhkan sekuriti kesihatan tanah air serta mengurangkan kebergantungan terhadap negara pengeluar vaksin.
Perdana Menteri justeru berkata, kerajaan akan memastikan 50 peratus daripada dana penyelidikan kerajaan disediakan untuk pembangunan eksperimental (aktiviti pra-pengkomersialan) khususnya bagi inovasi berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
“Ini bagi memastikan semua aktiviti pembangunan, penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi adalah sejajar dengan bidang keutamaan nasional dan keperluan negara. Hal ini kerana kadar import produk farmaseutikal Malaysia bernilai AS$1.94 bilion pada 2020 di mana vaksin adalah antara lima item import utama dengan jumlah pembelian RM4.3 bilion bagi vaksin Covid-19 sahaja.
“Kebergantungan kepada import ini menunjukkan kita perlu melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan bukan pengguna teknologi semata-mata,” tegas Ismail Sabri.