LUMUT: Pelitup muka tertanggal ketika menunggang motosikal. Itu alasan diberikan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun apabila dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika menjual aiskrim di kawasan peranginan pantai Teluk Senangin semalam.
Remaja itu antara 23 individu yang dikompaun selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Op Covid-19 khas pemantauan pematuhan SOP Pelan 3D Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, seramai 21 lelaki dan dua wanita berusia antara 14 hingga 60 tahun dikompaun keseluruhan RM36,500 dalam operasi sekitar Seri Manjung, Lumut, Ayer Tawar, Sitiawan dan Pantai Remis, bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang semalam.
Daripada jumlah tersebut, 13 individu masing-masing dikompaun RM1,500 kerana gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera; enam individu dikompaun masing-masing RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam; dua individu masing-masing dikompaun RM2,000 kerana gagal menyediakan Kod QR di premis perniagaan manakala masing-masing satu kes dengan denda RM2,000 kerana vaksin tidak lengkap atau tidak pernah menerima vaksin.
“Antara yang dikompaun ialah pengunjung lelaki dari Gopeng yang datang ke Teluk Senangin dalam keadaan mengetahui dia belum cukup tempoh 14 hari bagi dos kedua vaksin Covid-19.
“Lelaki tersebut mengakui yang dia tahu status vaksinasi lengkap selepas tempoh itu, namun dia saja mahu menyertai rakan ke Teluk Senangin untuk berjalan-jalan di pantai itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.
Menurut Nor Omar, seorang lagi lelaki berusia 35 tahun dikompaun selepas didapati tiada sijil digital vaksinasi atau kad vaksinasi sebagai bukti sudah mengambil dua dos lengkap vaksin untuk ke lokasi rekreasi.
Jelasnya, lelaki dari Seri Manjung itu mengunjungi tempat rekreasi di kawasan memancing ikan di Kampung Sitiawan walaupun mengetahui dia tiada vaksinasi.
Beliau kesal masih ada individu yang mengamalkan sikap ambil mudah atau sambil lewa dalam mematuhi SOP walaupun ia sudah dikuatkuasakan sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini awal tahun lalu.
“Tahap pematuhan SOP di daerah Manjung masih dalam keadaan yang tinggi, cuma segelintir individu mengamalkan sikap ambil mudah atau sambil lewa dalam mematuhi SOP.
“Pihak polis di Manjung sentiasa memandang serius dalam soal pematuhan SOP terutama tempat pelancongan dan tempat tumpuan orang ramai,” jelas beliau.
Justeru, beliau memberitahu Operasi Pematuhan SOP akan dijalankan setiap hari untuk memastikan orang awam atau pengunjung di daerah Manjung mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam PPN Fasa 3.










