Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 pacu agenda pelaburan - Utusan Malaysia

Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 pacu agenda pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bakal memuktamadkan Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 (PIPNJ 2030) yang bakal memacu agenda pelaburan negeri pada masa hadapan menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, pelan itu merupakan satu dokumen rujukan komprehensif untuk tempoh 10 tahun akan datang. 

“Ia amat penting terutama ketika selepas pasca Covid-19 yang akan datang. Pelan ini dijangka akan siap pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Chen Choon (PH-Jementah) dan Jimmy Puah (PH-Bukit Batu) mengenai inisiatif dan usaha kerajaan dalam membantu pelabur yang turut terkesan susulan pandemik itu.

 

MOHD. IZHAR AHMAD

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Izhar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata demikian pada hari kedua Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata PIPNJ 2030 akan menjadi asas kepada usaha menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

Mohd. Izhar turut memberitahu, kerajaan negeri telah dan sedang melaksana pelbagai inisiatif bagi mengekalkan pelaburan sedia ada dan membantu para pelabur yang terkesan bagi memastikan Johor terus dikenali sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan mesra pelabur. 

“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah sesi libat urus dengan pelbagai persatuan perniagaan bagi mendapat maklumbalas sekaligus menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan segala permasalahan yang dihadapi,” ujarnya.

Tambah Mohd. Izhar lagi, mengikut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor telah mencatat pelaburan RM6.56 bilion dalam enam bulan pertama tahun 2021 menerusi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

“Jumlah pelaburan tersebut dijangka boleh menyediakan sebanyak 7,860 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat tempatan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN