Pelaksanaan Cukai Makmur dapat sokongan syarikat - Utusan Malaysia

Pelaksanaan Cukai Makmur dapat sokongan syarikat

TM berjaya merekodkan keputusan kewangan yang sihat bagi tahun kewangan 2021. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa syarikat yang bakal dikenakan Cukai Makmur menyokong pelaksanaan cukai secara sekali bayar itu dan memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan pembayaran dividen kepada pemegang saham.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dijangka kurang 250 syarikat bakal dikenakan cukai korporat tambahan itu dan bukannya membabitkan jumlah syarikat yang besar.

“Sebagai contoh, Telekom Malaysia Bhd. (TM), Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Axiata telah menyatakan sokongan terhadap usaha ini (Cukai Makmur). Top Glove juga menyatakan mereka gembira untuk menyumbang kepada Cukai Makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Invest Malaysia 2021 Siri 2 yang dianjurkan Bursa Malaysia dengan kerjasama CIMBCGS secara maya, semalam.

Tengku Zafrul turut memberi jaminan Cukai Makmur yang dicadangkan kerajaan untuk dilaksanakan tahun depan itu hanya akan dikenakan secara sekali saja memandangkan negara sedang menghadapi keadaan luar biasa.

“Hasil kutipan Cukai Makmur akan digunakan untuk memantapkan lagi sistem kesihatan di negara ini supaya kekal berdaya tahan dalam mendepani sebarang cabaran mendatang,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul memaklumkan, Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai sasaran defisit 6.5 peratus tahun ini dengan jangkaan pemulihan ekonomi yang kukuh pada suku keempat 2021.

Ujarnya, pembukaan semula ekonomi dan kejayaan pelaksanaan program vaksin akan menyokong pendapatan negara yang kukuh pada suku keempat.

Katanya, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga dilihat mencatatkan peningkatan dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi.

“Kita berada dalam landasan untuk mencapai sasaran defisit 6.5 peratus bagi 2021, tetapi turut bergantung kepada prestasi pendapatan negara dan prestasi akhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Perbelanjaan 2021 dirasionalkan untuk menampung peningkatan Dana Covid-19 kepada RM39 bilion, iaitu untuk membiayai bantuan tambahan dan pakej rangsangan, jadi defisit keseluruhan untuk tahun ini dijangka RM98.8 bilion, meningkat daripada jumlah anggaran asal RM84.8 bilion,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan menjangkakan prestasi KDNK negara pada suku ketiga 2021 melemah berikutan pelbagai langkah membendung penularan Covid-19 dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

“Bagaimanapun, pemulihan kukuh akan dicatatkan pada suku keempat berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi, terutama sektor perkhidmatan dan kejayaan program vaksinasi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN