GEORGETOWN: Pengurusan hotel di negeri ini mengambil pelbagai langkah termasuk meminta pekerja di bahagian pejabat membantu membersihkan bilik bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja agar operasi hotel dapat terus berjalan lancar.
Pengarah Komunikasi Shangri-La Rasa Sayang dan Golden Sand Resort Pulau Pinang, Suleiman Tunku Abdul Rahman berkata, selepas 11 Oktober dan awal minggu ini pihaknya berdepan dengan masalah kekurangan pekerja di bahagian pembersihan.

“Kami mengambil langkah saling membantu di antara pekerja di mana pekerja di bahagian pejabat turut sama membantu membersihkan bilik selepas tugas mereka tamat pada pukul 5 petang.
“Cara berkenaan dapat membantu meringankan beban petugas di bahagian pembersihan kerana mereka memerlukan masa untuk membersihkan bilik mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya di sini semalam.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, industri perhotelan tempatan kini menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal sehingga menjejaskan operasi sejak sektor itu dibuka semula kepada orang ramai pada 11 Oktober lalu.
Menurut Suleiman, bagi hotel Shangri-La Rasa Sayang dan Golden Sand Resort, terdapat kira-kira 20 kakitangan di bahagian pejabat telah turun padang membantu membersihkan bilik ketika hotel berkenaan berdepan masalah kekurangan petugas.
“Untuk minggu-minggu seterusnya selepas ini, pihak kami telah berjaya mendapatkan pekerja sambilan bagi bahagian pembersihan bilik dan ia dapat membantu melancarkan operasi hotel ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Hotel Bahang Bay dan Vouk Hotel Suites, Ieja Hindun Salleh berkata, pihaknya mengambil pendekatan mengupah pekerja sambilan bagi membersihkan bilik selepas berlaku kekurangan pekerja di bahagian pembersihan bilik.

Pihaknya menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melibatkan pelajar dalam bidang pengurusan hotel yang berminat boleh mendapatkan wang sampingan dengan menjalankan kerja sambilan di hotel tersebut.
“Saya pernah berdepan dengan mereka yang terus hilangkan diri selepas sehari bekerja di hotel kami, inilah sikap rakyat tempatan yang memilih kerja.
“Setakat ini, hotel kami tidak terlalu kritikal menghadapi kekurangan pekerja di bahagian pembersihan kerana hotel kami ketika ini berfungsi sebagai hotel kuarantin.
“Kami juga jalinkan kerjasama dengan UiTM dengan membuka peluang pekerjaan sambilan kepada para pelajar di hotel pada masa ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE