Pecutan terakhir dekati pengundi veteran - Utusan Malaysia

Pecutan terakhir dekati pengundi veteran

DR. MUHAMAD Akmal Salleh (kanan) berjumpa orang ramai di sebuah warung di Merlimau Pasir, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Salleh menggunakan baki masa yang tinggal dengan tumpuan berkempen di warung-warung makanan untuk mendekati pengundi veteran.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Jasin itu, beliau akan menggunakan kesuntukan masa yang ada untuk menemui pengundi, walaupun terdapat kekangan prosedur operasi standard (SOP) sukar bertemu di rumah mereka.

Katanya, walaupun menggunakan media sosial untuk berkempen, itu belum mencukupi terutama untuk mendekati pengundi berusia  50 hingga 60 tahun yang dilihat jarang menggunakan platform tersebut.

“Pendekatan saya sekarang ialah mencari warung-warung sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam kerana di sinilah peluang untuk berjumpa mereka seramai mungkin.

“Setakat ini, saya sudah menjelajah sebanyak 35 buah warung bertemu penduduk serta meminta mereka menyampaikan hasrat saya sebagai wakil rakyat yang baharu di Merlimau.

“Alhamdulillah, setakat ini maklum balas diterima sangat baik kerana mereka mengenali saya sebagai doktor di klinik saya di Merlimau dan mudah bagi saya menyampaikan amanat mengapa perlu memilih BN,” katanya ketika ditemui di sebuah warung di Merlimau Pasir di sini.

Muhamad Akmal akan menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Azrin Ab. Majid dan calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Alim Shapie.

DUN itu sebelum ini dimenangi penyandang daripada BN, Datuk Roslan Ahmad yang menang dengan majoriti 130 undian.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, beliau menegaskan, perkara tersebut tidak pernah difikirkan kerana tumpuan utamanya adalah untuk bertemu pengundi di setiap pelosok daerah ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN