Pasar Siti Khadijah terbersih 2021 - Utusan Malaysia

Pasar Siti Khadijah terbersih 2021

PASAR Siti Khadijah menjadi johan kategori Pasar Awam Terbersih 2021 ketika Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Komitmen pelbagai pihak di bandar ini yang bergabung tenaga menaik taraf kebersihan Pasar Siti Khadijah berbaloi apabila premis ikonik itu meraih gelaran ‘Pasar Awam Terbersih 2021’ di Malaysia.

Anugerah itu diumumkan ketika Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Pe­ringkat Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, minggu lalu.

Dalam penganugerahan membabitkan 105 pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, Program Basmi Denggi Kampung Wakaf Stan di sini pula dinobatkan sebagai naib johan kategori Kempen Membasmi Denggi 2021.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf hadir menerima kedua-dua anugerah yang disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tuan Zainal Abidin berkata, kejayaan itu membanggakan kerana sejak 29 tahun dijenamakan semula bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pasar tersebut belum pernah menerima sebarang pengiktirafan.

“Pelbagai inisiatif dilakukan MPKB-BRI bagi menaik taraf dan meningkatkan tahap kebersihan pasar ini dengan kerjasama agensi kerajaan negeri serta Pusat seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Antara yang kita buat, program gotong-royong berterusan membabitkan 3,000 warga pasar merangkumi persatuan peniaga dan penduduk setempat, serta program membasmi haiwan perosak seperti tikus.

“Selain tahap kebersihannya, faktor lain melayakkan Pasar Siti Khadijah menjadi johan adalah kerana keindahan dan keunikannya yang dipelo­pori 90 peratus peniaga wanita hingga terkenal ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Pasar tersebut diwujudkan pada 1985 dengan nama asalnya Pasar Besar Buluh Kubu sebelum dijenamakan semula oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz pada 1992 sebagai Pasar Siti Khadijah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN