fbpx

Pas tolak gagasan MN tanpa penyertaan PN

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pas menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan pembabitan hanya UMNO dan parti itu sahaja.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN).

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat menegaskan, gagasan MN yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya, kerana berlakunya perubahan situasi dan realiti.

“Oleh itu, langkah persembahannya bermula dengan penubuhan MN yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan PN. Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh.

“Pas boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya.

“Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata. Pas hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan, tujuan utama penubuhan MN dan PN adalah demi agenda perpaduan umat yang sebenarnya yang perlu sentiasa bersama dan tidak boleh dipisahkan seperti sepasang.

“Kedua-dua gagasan berkenaan laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja. Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya.

“Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan,” katanya

Abdul Hadi berkata, berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam MN yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah belah dan berporak-peranda selama ini.

Katanya, MN bukan sahaja disertai oleh Pas dan UMNO, bahkan melibatkan semua pihak jika benar-benar gagasan itu berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab sebelum Islam yang berpecah belah.

POPULAR

KOSMO! TERKINI