[PARLIMEN] E-hailing motosikal tidak akan dibenarkan beroperasi - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] E-hailing motosikal tidak akan dibenarkan beroperasi

PERKHIDMATAN motosikal e-hailing menjadi pilihan ramai pengguna di Indonesia khususnya Jakarta. - GAMBAR GOJEK INDONESIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong mengakui bahawa kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan e-hailing motosikal atau teksi motosikal beroperasi di negara ketika ini.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah menyifatkan e-hailing sedia ada sudah cukup untuk menampung permintaan pengguna.

Malah katanya, e-hailing sedia ada mempunyai potensi besar untuk ditambah baik dari aspek kualiti perkhidmatannya, selamat kepada pengguna dan boleh diperluaskan di setiap pelosok negara bukan sahaja tertumpu kepada bandar-bandar bagi memenuhi keperluan pengangkutan penduduk tempatan.

“Oleh yang demikian, pada masa ini, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing atau teksi motosikal mengambil kira pelbagai aspek terutamanya isu keselamatan dan kebajikan penumpang.

“Hal ini mengambil kira bahawa risiko nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan adalah amat tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia.

“Selain itu, isu-isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada. Kementerian akan meneruskan kajian secara berterusan bagi menilai semua aspek berkaitan perkhidmatan ini sebelum sebarang hala tuju mengenainya dipertimbangkan kelak,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Larry Sng (Bebas-Julau) berhubung rancangan komprehensif kementerian untuk menjadikan servis perkhidmatan e-hailing teksi motosikal sebagai salah sebuah pelengkap perkhidmatan awam yang baharu di negara ini.

Jawapan Henry mengundang kritikan Larry yang mempersoalkan sama ada garis panduan e-hailing motosikal telah dibentuk sebelum keputusan itu dibuat.

Bagaimanapun, Henry mempertahankan keputusan kerajaan tersebut, sebaliknya menyenaraikan statistik kematian melibatkan motosikal hasil laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mengikut statistik pada 2019 yang dilaporkan oleh PDRM, penunggang motosikal adalah golongan paling tinggi mangsa nahas jalan raya mewakili 64 peratus daripada jumlah kematian tahun tersebut atau melebihi 3,900 kematian daripada jumlah 6,167 kematian direkodkan pada 2019.

“Maka pihak kerajaan berdasarkan statistik ini, menangguhkan keputusan untuk tidak membenarkan e-hailing motosikal,” katanya.

Keputusan itu turut dikritik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang menyifatkan kerajaan membuat keputusan tanpa menilai data yang sewajarnya.

“Kerajaan pada 2019 meluluskan dengan syarat ketat e-hailing motosikal mengikut negara-negara jiran. Jawapan Yang Berhormat menteri saya rasa agak malas dan tidak telus, jawapan yang selamat, untuk mengatakan ramai memandu motosikal mengalami kemalangan, ini hanya trend setiap tahun, sedangkan Kabinet sebelum ini menetapkan tempoh enam bulan untuk menilai selepas e-hailing motosikal dibenarkan.

“Adakah ada penambahan khusus dari segi kemalangan dalam sektor e-hailing motosikal, kerana statistik yang digunakan tidak spesifik. Malah, kita ada syarikat tempatan telah pun beroperasi kerana keputusan Kabinet, tetapi hari ini buat pertama kali kerajaan menarik semula keputusan itu, ini akan menyebabkan implikasi buruk kepada syarikat-syarikat kecil yang memulakan operasi.

“Saya harap kerajaan mempertimbangkan keputusan ini dan membentangkan data yang jelas menunjukkan dalam tempoh enam bulan, ada kenaikan yang mendadak dari segi kemalangan. Jangan buat keputusan berdasarkan emosi, tidak ikut data,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya