[PARLIMEN] Judi dalam talian perlu undang-undang baharu - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Judi dalam talian perlu undang-undang baharu

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang baharu bagi memantau aktiviti judi dalam talian dengan lebih berkesan.

Ini kerana, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian.

Malah katanya, pemantauan menjadi sukar kerana alamat dan pautan laman sesawang boleh ditukar-tukar bagi memadam kegiatan mereka daripada dipantau pihak berkuasa.

“Sebab itu, kita cadang kepada Kementerian Kewangan supaya buat undang-undang supaya kalau boleh dapat lesen (kenakan cukai). Apabila tak lesenkan judi dalam talian, kita tak dapat pendapatan, kita perlu pantau 24 jam, kena bagi lesen dan perlu ada peruntukan kewangan.

“Kalau judi di laman sesawang maknanya domain boleh bertukar. Kalau ada premis, ada rumah judi, itu sahaja kita boleh tangkap.

“Kalau tak ada rumah, polis ke pihak berkuasa ke tidak boleh tangkap sebab tak ada dalam akta. Mesti ada rumah judi atau kawasan tempat dia main, kalau dalam talian tak ada undang-undang, maknanya kita di Parlimen ini kena buat undang-undang baharu,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Nizar Zakaria (BN-Parit) berhubung permasalahan undang-undang akta judi dan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda akta sedia ada.

Berhubung usaha mengatasi isu mesej spam yang mempromosikan judi dalam talian, beliau berkata, kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor aktif disahkan sewajarnya.

“Ini penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuk penipuan dan mempromosi judi dalam talian.

“Sejak 2018 sehingga 31 Oktober lepas, sejumlah 20,025 talian telefon ditamatkan atas kesalahan spam SMS yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain,” katanya.

Bagi tempoh sama juga, 4,799 laman web judi dalam talian disekat berdasarkan permohonan rasmi pihak PDRM, atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya