KUALA LUMPUR: Keadaan di Dewan Rakyat menjadi panas selepas RSN Rayer (Jelutong-PH) mencelah perbahasan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Halimah memutuskan untuk tidak memberikan sebarang jawapan berkaitan isu tersebut susulan siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) masih berjalan.
“Bagi persoalan-persoalan telah dibangkitkan berhubung dengan penyaluran peruntukan MITRA, izinkan saya untuk menjawab secara bersekali dan ingin saya nyatakan, saya tidak dapat menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen kerana buat masa ini SPRM telah memulakan siasatan kertas pengurusan geran MITRA berkenaan program-program yang telah diluluskan dari 2019 hingga 2020 iaitu ketika MITRA berada dalam JPM.
“Yang kedua adalah program-program yang telah diluluskan bermula April 2020 hingga 2021 iaitu ketika MITRA berada dalam Kementerian Perpaduan. Saya telah dinasihatkan oleh SPRM kerana dikhuatiri maklumat-maklumat yang mungkin saya berikan dalam jawapan ini akan mengganggu siasatan,” katanya.
Walaupun begitu, Rayer terus menuntut jawapan berhubung perkara itu kerana SPRM tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan sama ada menteri boleh menjawab perkara itu atau tidak.
“Saya percaya menteri boleh berterus terang dan memberikan jawapan kerana dewan yang mulia ini bertanggungjawab kepada rakyat. Pihak SPRM tidak boleh memberi arahan berkenaan jawapan yang boleh diberikan atau tidak boleh diberikan. Menteri yang paling berkuasa.
“Perkara ini penting kerana selepas perkara ini dibongkarkan, SPRM telah jalankan satu siasatan termasuk tangkapan telah dibuat. Persoalan saya, sama ada pemimpin-pemimpin MIC terlibat secara langsung,” katanya.
Turut menuntut jawapan adalah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.










