SEREMBAN: Saranan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat adalah bertujuan supaya rakyat diberikan semula mandat untuk memilih kerajaan yang sahih.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pandangan yang disuarakan beliau itu bukanlah kerana BN dan UMNO telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi ia berkenaan kepentingan negara.
“Saya melihat kerajaan ini mesti mendapat mandat, kerajaan yang mendapat mandat rakyat akan diiktiraf seluruh dunia itu maksud saya. Mengapa negara luar tidak mahu datang dan melabur di negara kita, kerana mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang sebegini, sekali mengundi dapat tiga Perdana Menteri.
“Bukan kerana kita menang di Melaka kita nak buat pilihan raya segera atau tidak, saya memikirkan tentang negara, saya fikirkan tentang ke mana arah kita ni, sampai bila kita mahu begini, jadi kita buatlah segera.
“Kalau sudah boleh di Melaka kita buat pilihan raya, Sarawak akan ada pilihan raya bulan depan, boleh jadi peringkat Persekutuan juga boleh buat, fikirkan dan awalkan, jadi kita pulangkan semula mandat kepada rakyat, biarlah rakhyat yang memutuskan supaya kepentingan rakyat itu jadi keutamaan kita,” katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Semalam Mohamad berkata PRU-15 perlu dipertimbangkan untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN
Beliau menambah, perkara itu juga telah disuarakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam kelmarin sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.
Sementara itu, Mohamad bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa keputusan untuk membubar Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum bukan ditentukan dan mengikut telunjuk parti politik tertentu dan sebarang keputusan mengenai PRU perlu dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
“Itu sebab saya bisik kepada Perdana Menteri, kerana dia Pengerusi kabinet, saya bukan bisik kepada ketua kampung. Biar Perdana Menteri bincang dalam kalangan ahli Kabinet. Jika mereka meletakkan keutamaan kepada kepentingan negara, mereka mesti membincangkannya,” katanya lagi.
Mengulas sekiranya bahawa dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dibawa bersama dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka, Mohamad berpandangan, tiada keperluan untuk perkara itu dilakukan.
“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu makan bersama. Saya nak tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan.
“Kalau kita tidak cukup kerusi betul la, tapi kita sudah berlebih kerusi, dalam kalangan kita juga sudah berlebih nak lantik Exco, jadi apabila membuat sesuatu, justifikasi mesti ada. Bagi saya tidak ada keperluan,” kata Mohamad.- UTUSAN ONLINE










