PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyeru kepada pelajar, remaja dan mereka yang tidak berkemampuan untuk melanggan dua pakej peranti dilancarkan kerajaan baru-baru ini.
SKMM menerusi kenyataan berkata, dua pakej berkenaan termasuk Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.
Menurutnya, kedua-dua pakej tersebut adalah inisiatif kerajaan dan amat berguna dalam membantu golongan pelajar, remaja serta mereka yang kurang berkemampuan memperoleh akses internet selain memiliki peranti pintar mampu milik.
“Bagi Pakej Remaja Keluarga Malaysia, ia adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.
“Dengan hanya RM10 sebulan (dibayar untuk tiga bulan sebanyak RM30), mereka boleh memperoleh data 20GB untuk tempoh tiga bulan.
“Selain itu, turut diberikan ialah data 1GB (jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari dan internet asas tanpa had,” katanya.
Katanya, menerusi pakej itu, mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti umpamanya penghantaran mesej dan melayari internet.
Bagi Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula, SKMM memaklumkan, pakej itu membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma.
Jelasnya, teknologi VoLTE ini membolehkan pengguna menikmati panggilan yang berkualiti tinggi di rangkaian 4G.
“Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan,” katanya.
Kedua-dua pakej itu dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 14 Oktober lalu hasil kerjasama dengan enam syarikat penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) serta YES.- UTUSAN ONLINE










