Orang ramai rindu aksi gajah - Utusan Malaysia

Orang ramai rindu aksi gajah

SEBAHAGIAN gajah sedia beraksi pada bila-bila masa apabila menerima kehadiran pengunjung di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kira-kira 10,000 pelancong domestik mula me­ngunjungi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang dekat sini sebaik sahaja lokasi itu dibuka kepada umum bermula 12 Oktober lalu.

Rata-rata pengunjung seolah-olah melepaskan ‘rindu’ melihat aksi haiwan tersebut setelah lama tidak dapat berbuat demikian kerana pusat itu ditutup ekoran penularan Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pusat PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, orang ramai dibenarkan memberi makan gajah dewasa sebagai daya tarikan pengunjung ke pusat berkenaan.

“Rata-rata pengunjung rindu melihat aksi dan kelibat gajah di PKGK seperti aksi memandikan gajah di sungai.

“Bagaimanapun, persembahan dan aksi gajah belum diadakan lagi bagi mengelakkan pengunjung berkumpul kerana ia masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya di sini semalam.

Che Ku Mohd. Zamzuri berkata, faktor pematuhan SOP ditetapkan begitu dititikberatkan di PKGK demi keselamatan dan kesihatan pengunjung.

“Setakat ini kita hanya membenarkan 150 pengunjung pada satu-satu masa selain perlu lengkap dua dos vaksin dan me­laksanakan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 20 ekor gajah dewasa dan 11 anak gajah yang ditempatkan di pusat tersebut bersiap sedia beraksi pada bila-bila masa di hadapan pengunjung.

“Operasi PKGK Kuala Gandah bermula 10.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari dan pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran kecuali menggunakan khidmat pemandu pelancong.

“Sepanjang penutupan PKGK Kuala Gandah kepada pelancong, seramai 20 kakitangan diberi tugas menjaga kesihatan 31 gajah supaya sentiasa keadaan sihat dan baik, memandikan gajah, memberi makan serta membiarkan gajah berjalan kawasan sekitar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN