‘Nanti saya putuskan siapa ganti Rafiq’  - Utusan Malaysia

‘Nanti saya putuskan siapa ganti Rafiq’ 

Mohd. Rafiq Naizamohideen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Pengunduran Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka memberi peluang kepada parti itu membuat rombakan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi bayangan rombakan tersebut bukan sahaja melibatkan jawatan dilepaskan Mohd. Rafiq tetapi Badan Pimpinan Negeri (BPN) itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan tindakan Mohd. Rafiq melepaskan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu di Melaka adalah langkah terhormat.

“Datuk Rafiq telah maklumkan dan terbukti semalam benar beliau meletak jawatan dan ini (sebenarnya) satu langkah terhormat iaitu memberi laluan supaya kita (parti) dapat buat rombakan BPN itu.

“Nanti saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti atau rombakan-rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari ke hadapan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga di sini hari ini.

MUHYIDDIN YASSIN

Semalam, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu mengumumkan meletak jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka dan Pengerusi PN negeri berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkata, peletakan jawatan itu bagi memberi peluang kepada pemimpin baharu untuk mengetuai Bersatu dan PN negeri supaya mempunyai masa yang cukup bagi membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, Mohd. Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu antara empat pengerusi parti yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, Sabtu minggu lalu.

Mohd. Rafiq yang bertukar kerusi bertanding di Telok Mas hanya meraih 3,979 undi dan tewas dengan majoriti 2,076 ditangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (6,052)., – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN